Rodrigo Duterte
Rodrigo Duterte

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang sebelum ini dikatakan menghidapi kanser kini boleh menarik nafas lega apabila beliau disahkan bebas dari penyakit yang boleh membawa maut itu.

Agensi melaporkan, sejak minggu lepas Duterte ditahan di hospital swasta bagi menjalani beberapa ujian kesihatan terutamanya melibatkan usus, kini disahkan tidak menghidap kanser.

Pemangku Menteri Dalam Negeri,  Eduardo Ano yang mengesahkan berita itu berkata, setiap ujian yang dijalankan ke atas Duterte negatif.

“Presiden sendiri memberitahu tentang tahap kesihatan serta keputusan ujian ke atas dirinya kepada kami semua pada malam tadi dalam mesyuarat Kabinet.

“Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan ketika ini, jika ada kita akan maklumkan. Beliau sudah mula bekerja,” katanya kepada media tempatan hari ini.

Sebelum ini, spekulasi tentang tahap kesihatan Duterte, 73, yang merupakan pemimpin paling tua dilantik di negara itu mula diperkatakan sejak beliau mengambil alih kuasa pada 2016.

Khamis lepas, Duterte yang terkenal atas kelantangannya tanpa sedikit pun rasa bimbang malah seringkali bertindak drastik termasuk ke atas orang kenamaan itu memaklumkan secara terbuka.

Malah jelas Duterte, dirinya telah menjalani rawatan endoskopi dan kolonoskopi kira-kira tiga minggu lalu serta dinasihatkan untuk mengulangi ujian itu pada minggu ini.

“Saya tidak begitu pasti dengan keadaan fizikal saya ketika ini, jika ianya barah saya akan maklumkan. Seandainya sudah berada di tahap ketiga, tidak ada rawatan lagi,” katanya.

Spekulasi mula tersebar di media Filipina selepas Duterte dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat Kabinet dan acara lain.

Kerajaan bagaimanapun menafikan pemimpin terbabit mengalami masalah kesihatan dan jurucakapnya, Harry Roque berkata, beliau hanya mengambil cuti kesihatan bagi menjalani beberapa ujian kesihatan. – Malaysia Gazette