Lembaga Pengarah Airbus memilih Guillaume Faury yang kini menggalas tugas Presiden Airbus Commercial Aircraft, sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu.
Lembaga Pengarah Airbus memilih Guillaume Faury yang kini menggalas tugas Presiden Airbus Commercial Aircraft, sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Airbus memilih Guillaume Faury yang kini menggalas tugas Presiden Airbus Commercial Aircraft, sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu.

Beliau akan menggantikan Tom Enders, 59, yang kekal menjadi CEO sehingga berlangsungnya Mesyuarat Agung Luar Biasa (AGM) seterusnya pada 10 April, 2019 apabila pelantikan Guillaume sebagai ahli eksekutif Lembaga itu dikemukakan kepada pemegang saham, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Guillaume, 50, telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan pengurusan kanan di Eurocopter bermula dari 1998 sehingga 2008 sebelum menyertai Peugeot S. A pada 2009.

Beliau kembali ke Airbus pada 2013 sebagai CEO Airbus Helicopters dan seterusnya di Airbus Commercial Aircraft pada awal 2018.

“Guillaume merupakan pilihan terbaik. Beliau berpengalaman luas dalam bidang industri dan aeronautik sejak bertahun lamanya dan telah memegang banyak jawatan di dalam mahu pun luar Airbus.

“Sejajar dengan kelebihannya memiliki nilai yang tinggi serta minda global yang mantap, Guillaume menepati ciri barisan generasi pemimpin baharu yang diperlukan Airbus dalam dekad akan datang,” kata Enders.

Sementara itu, Guillaume melahirkan keterujaan beliau untuk memulakan cabaran baharu itu dengan penuh semangat dan mengharapkan sokongan kepakaran selain penglibatan kalangan petugas Airbus di serata dunia.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan