Ahli Ekonomi Kanan Maybank Kim Eng. Dr Chua Hak Bin mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan duti setem hartanah terhadap pembeli tempatan dan asing.
Ahli Ekonomi Kanan Maybank Kim Eng. Dr Chua Hak Bin mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan duti setem hartanah terhadap pembeli tempatan dan asing.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempunyai banyak peluang untuk memperkenalkan cukai tambahan pada Bajet 2019 untuk meningkatkan pendapatan negara.

Selain asas cukai baharu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan menaikkan kadar cukai sedia ada.

Ahli Ekonomi Kanan Maybank Kim Eng. Dr Chua Hak Bin mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan duti setem hartanah terhadap pembeli tempatan dan asing.

Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengenakan duti setem bagi transaksi urus niaga harta tanpa had atau pengecualian lagi.

“Dengan pendekatan itu kutipan hasil kerajaan akan bertambah.

“Pendekatan ini bukan asing kerana Singapura melakukannya dan duti yang dikenakan lebih tinggi tiga kali ganda daripada Malaysia yang hanya 3 peratus sahaja,” katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan Persidangan Pelaburan di sini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Pembangunan Asia, Dr Bernard Ng pula mencadangkan kerajaan mengenakan cukai baharu ke atas bahan api fosil dan cukai karbon.

Jelasnya, cadangan itu boleh dilakukan lebih meluas – sama ada di darat atau di udara.

“Banyak negara sudah melakukan, mengapa tidak Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette