Buku Harapan yang mengandungi 10 janji 100 hari, 60 janji 5 tahun.
Buku Harapan yang mengandungi 10 janji 100 hari, 60 janji 5 tahun

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu memberi ruang kepada Kerajaan Pakatan Harapan mentadbir dan jangan terlalu menuntut janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Tan Sri Rafidah Aziz berkata, kerajaan tidak boleh ke hadapan jika terlalu tertumpu untuk menunaikan janji-janji manifesto.

Malah, kerajaan juga memberi isyarat atau jangkaan yang silap sekiranya fokus janji manifesto.

Menurut beliau, kerajaan perlu bekerja dan penyampaian hanya boleh dibuat pada masa yang tepat.

“Manifesto itu dibuat sebelum pilihan raya, ia bukan polisi. Sedangkan dalam realitinya banyak kerja yang perlu dibuat.

“Persekitaran berubah, transformasi berlaku setiap hari. Rakyat kena faham manifesto adalah strategi melepasi lima tahun.

“Lagipun, Kerajaan Pakatan Harapan bukan kerajaan manifesto. Kerajaan juga sudah sepatutnya mengenepikan janji-janji manifesto secara perlahan-lahan,” katanya sambil memberitahu kerajaan perlu melihat lebih daripada manifesto.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan dalam Persidangan Pelaburan anjuran Kementerian Kewangan di sini.

Jelasnya, adalah tidak adil untuk membandingkan Kerajaan Pakatan Harapan yang baru lima bulan memerintah dengan Barisan Nasional selama 61 tahun.

Dalam perbincangan itu, Rafidah berkata, kerajaan sedia ada perlu berpaksikan rakyat dan negara dan bukan lagi berlandaskan politik semata-mata kerana strategi itu telah ditolak oleh pengundi-pengundi negara ini.

Rafidah juga mengingatkan Pakatan Harapan perlu bersatu dan bekerjasama dalam mengemudi kerajaan.

“Tidak boleh satu ke sana, satu ke sini. Nanti hanya tinggal Pakatan, tapi tiada Harapan,” ujarnya serius. – MalaysiaGazette