Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media Perlantikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri sesi 2018 hingga 2021 selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Ketua Pemuda UMNO di Menara Dato Onn PWTC, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 JULAI 2018

KUALA LUMPURĀ – Penyebaran berita lama kes pasangan suami isteri yang menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas dicekup berkhalwat dijadikan modal oleh kumpulan liberal untuk membantah operasi itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, golongan itu membantah operasi pencegahan maksiat yang dianggap melakukan kezaliman dan mengganggu ketenteraman individu.

“Dua tiga hari ini disebarkan berita lama mengenai pasangan suami isteri yang menyaman JAWI kononnya penguatkuasa JAWI sesuka hati melakukan operasi pencegahan maksiat sehingga pasangan suami isteri ini dicekup berkhalwat.

“Ia sekaligus menjadikannya isu nasional untuk mewajarkan pemansuhan operasi pencegahan maksiat,” katanya dalam satu kenyataan malam semalam.

Pada 4 Januari lalu, pasangan suami isteri yang ditangkap khalwat di sebuah hotel bajet di ibu negara tahun lalu, menarik balik saman yang difailkan mereka di Mahkamah Tinggi di sini terhadap JAWI dan enam lagi.

Asyraf berkata, ketika beliau menjaga portfolio Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri, kes itu dianggap selesai selepas pasangan terbabit mengaku bersalah.

“Pasangan suami isteri itu didenda kerana dengan sengaja membuat aduan serta panggilan palsu untuk memalukan penguatkuasa agama (JAWI),” katanya.

Asyraf turut tidak dapat mengesah dan membuktikan sama ada perbuatan pasangan suami isteri ini didalangi kumpulan tertentu yang berjuang untuk memalukan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Apa-apa pun harus difahami bahawa Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri ada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) khas dalam melakukan sebarang operasi pencegahan maksiat.

“Penguatkuasa hanya akan bertindak setelah menerima aduan orang ramai dan bukannya kaedah memecah pintu berasaskan andaian dan prasangka sebagaimana yang dicanang-canangkan,” katanya.

Beliau berkata, jika ada kelemahan dalam operasi pencegahan maksiat itu ia hanyalah kes terpencil dan tidak wajar dijadikan hujah untuk menghapuskan usaha itu secara keseluruhannya.

“Pencegahan maksiat juga merupakan prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar yang menjadi sebahagian tanggungjawab pemerintah dalam memenuhi Maqasid Syariah.

“Ini selaras dengan kaedah fekah Saddu Zariah (menutup pintu ke arah kemaksiatan),” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan