Mohd Nazari Mokhtar
Calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar (dua kanan) bersama Calon Bebas, Lau Seck Yan (kanan) melawat pusat mengundi sempena hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata parti itu yakin mendapat sokongan padu daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, parti itu mendapat respon di luar dugaan kerana mengetengahkan calon daripada bekas tentera sebagai wakil mereka.

“Respon daripada tentera di luar jangkaan. Kita mungkin akan dapat lebih sokongan daripada mereka yang rata-rata beritahu kepada saya bahawa mereka bersama dengan Pas.

“Kedatangan kita disambut dan mereka mahu tahu mengenai saya dengan lebih mendalam lagi. Saya nampak komitmen daripada tentera dan polis amat besar dan peluang Pas kali ini untuk undi awal lebih memberangsangkan daripada PRU14 lalu,” katanya selepas membuat tinjauan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Port Dickson hari ini.

Beliau yang tiba jam 9.45 pagi melawat lima pusat mengundi di sini sambil ditemani pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, katanya, Pas bercadang untuk membuat laporan polis berhubung salah guna aset dan jentera kerajaan oleh calon parti lain yang bertanding.

Ujarnya, perkara itu akan dipertimbangkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Saya serahkan kepada kepimpinan Pas untuk buat keputusan dan kita akan mohon Setiausaha Agung (Datuk Takiyuddin) untuk membuat laporan.

“Satu sudah memadai untuk SPR, jadi kita sokong. Itu satu tindakan yang wajar kerana dia melihat inilah cara yang sepatutnya dilakukan.

“Calon lain menandatangani ikrar Bersih 2.0 agar PRK dibuat dengan telus dan adil. Namun apabila ada calon yang membangkitkan perkara salahguna aset kerajaan dalam PRK untuk parti, jadi langkah Stevie ini disambut baik oleh Pas,” katanya lagi.

Semalam calon bebas, Stevie Chan Keng Leong membuat laporan polis terhadap pesaingnya, daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan cuba menyogok pengundi kawasan itu.

Stevie berkata, Anwar cuba berbuat demikan ketika mengumumkan tiga projek untuk rakyat di Port Dickson dan program percuma dalam talian tuisyen untuk pelajar sekolah. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan