Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika hadir pada Program Malaysia A New Dawn di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 OKTOBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika hadir pada Program Malaysia A New Dawn di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Tiada isu kehilangan kerja apabila kerajaan menamatkan kontrak MMC-Gamuda sebagai kontraktor bawah tanah projek MRT2.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan pekerja-pekerja tersebut boleh berkhidmat dengan kontraktor baharu yang akan dilantik nanti.

“Projek tersebut tetap diteruskan walaupun kerajaan menamatkan kontrak MMC-Gamuda kerana kita mahu mendapatkan nilai yang lebih baik dengan melakukan tender semula antarabangsa.

“Ini bermakna, kontraktor baharu itu masih memerlukan pekerja bagi meneruskan projek berkenaan.

“Kerajaan tidak membatalkan projek tersebut.

“Malah MMC-Gamuda sendiri mungkin boleh memenangi tender tersebut sekiranya mampu membida pada harga yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Malaysia: Subuh Baharu di sini hari ini.

MMC-Gamuda dalam satu kenyataan semalam berkata, kira-kira 20,000 pekerja bagi projek bawah tanah MRT2 yang terdiri daripada rangkaian lebih 600 syarikat tempatan akan kehilangan pekerjaan apabila kerajaan bertindak menamatkan kontrak syarikat konsesi itu.

Daripada jumlah tersebut lebih 60 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja Bumiputera.

Menyentuh mengenai kemungkinan tindakan undang-undang diambil oleh syarikat tersebut, Guan Eng berkata, pekara tersebut sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.

Semua pengumuman akan dibuat kemudian sekiranya perlu.

Dalam perkembangan berbeza, kerajaan akan tetap memenuhi obligasi hutang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang akan tamat tempoh akhir tahun ini.

“Kita telah mendapatkan nasihat Peguam Negara, sekiranya kerajaan gagal membuat bayaran, ianya akan memberi impak buruk kepada negara.

“Kerajaan tidak sanggup melihat Malaysia terbelit hutang yang akan menyebabkan penarafan kredit jatuh teruk, bukan sekadar satu dua mata tetapi sangat dahsyat.

“Kerajaan akan berusaha sedaya-upaya untuk menyelamatkan kadar penarafan negara,” katanya lagi.

Kebanyakan firma penarafan antarabangsa meletakkan Malaysia pada taraf A-. MalaysiaGazette