MIAMI – Warga Florida Amerika Syarikat (AS) khasnya yang tinggal di persisiran pantai di barat daya negeri itu diarahkan untuk meninggalkan rumah dengan segera berikutan taufan ‘Michael’ bakal melanda dalam beberapa jam lagi.

Agensi melaporkan, taufan tersebut yang kini diramal berada pada peringkat ketiga akan menyebabkan banjir kilat yang dipercayai boleh mengancam nyawa.

Menurut Gabenor Florida, Rick Scott, ketika ini taufan berkenaan bergerak dengan kelajuan 120 kilometer sejam dan menghampiri AS pada kelajuan 11 kilometer sejam.

“Semua orang perlu bersedia. Sila tinggalkan rumah anda ke tempat yang telah disediakan atau lebih selamat. Seandainya rumah anda musnah, kita akan bantu untuk perbaikinya.

“Sekiranya sesuatu terjadi kepada diri atau nyawa anda, kita tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Dua hari lepas, Scott telah mengisytiharkan darurat di 26 daerah di Florida berikutan kebimbangan bencana alam itu bakal membahayakan nyawa penduduk di negeri ini.

Pusat Taufan Negara yang berpangkalan di Miami pula sudah mengeluarkan amaran ‘Michael’ mungkin akan membawa angin kencang dengan kelajuan 180 kilometer sejam pada malam Selasa.

Ketika ini Michael bergerak dengan kelajuan 120 kilometer.

Pada jam 12 tengah malam tadi waktu tempatan, Michael membadai wilayah Pinar del Rio di Cuba kemudian ke utara merentasi semenanjung Yucatan di Mexico. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan