Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor, Mohd. Adnan Md. Daud (dua,kanan) dibebas dan dilepaskan atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor, Mohd. Adnan Md. Daud (dua,kanan) dibebas dan dilepaskan atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor daripada pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram beberapa tahun lalu.

Hakim Azman Abu Hassan memutuskan demikian terhadap Mohd Adnan Md Daud, 55, ketika prosiding di akhir kes pembelaan selepas mahkamah berpuas hati bahawahujah yang dibangkitkan pihak pembelaan berjaya mewujudkan keraguan munasabah.

Keputusan mahkamah itu adalah bagi kesemua pertuduhan terhadap Mohd Adnan di Mahkamah Alor Setar dan Shah Alam, Selangor, tahun ini.

Pertuduhan terhadap Mohd Adnan di Mahkamah Alor Setar pada 18 Jun lalu membabitkan dakwaan menerima suapan RM73,000 daripada Sah Hizam Halim bagi melantik syarikat milik Sah Hizam iaitu Perniagaan Naluri Pertama menjalankan kerja membekal susu tepung kepada Tabika dan Taska Permata.

Beliau turut didakwa melantik syarikat Alpha Elite Resource yang juga milik Sah Hizam untuk menjalankan kerja membekal serbuk malt coklat kepada Tabika dan Taska Permata dimana kesalahan itu didakwa di lakukan di Maybank Cawangan Alor Setar pada 14 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua Mohd Adnan didakwa menerima rasuah berjumlah RM86,053.22 daripada Sah Hizam bagi melantik lima syarikatnya iaitu Perniagaan Naluri Utama, One Blue Diamond Enterprise, Golden North Enterprise, Malbery Enterprise dan LD Dinamik Enterprise bagi kontrak pembekalan pelbagai barangan untuk Tabika.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Januari 2015 di Maybank Cawangan Alor Setar.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 19 Jun lepas, Mohd Adnan didakwa atas pertuduhan menggunakan cek bernilai RM100,000 hasil aktiviti haram bagi tujuan pembayaran deposit rumah, dua tahun lepas.

Dia didakwa menggunakan cek Malayan Banking Bhd (Maybank) bernilai RM100,000 bagi tujuan pembayaran deposit rumah berkembar dua tingkat di Seksyen U13, Setia Alam di mana sejumlah RM86,053.22 daripada jumlah asal diperoleh daripada hasil aktiviti haram

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Sharullah Khan.

Sementara itu ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd Adnan melahirkan rasa syukur dan terharu dengan keputusan mahkamah itu dan menganggap pengalamannya naik turun mahkamah selama dua tahun ini adalah sebagai ujian Allah SWT.

“Inilah hari dimana saya dapat membersihkan nama saya daripada segala pertuduhan ini, selepas dua tahun akhirnya kebenaran telah tiba..mungkin saya ada kesilapan sebelum ini dan Allah SWT nak saya lebih dekat kepada agama,” katanya.

— BERNAMA