Ketua Pakar Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Illias berkata, melihat kepada corak pentadbiran kerajaan baharu yang tidak mahu membebankan rakyat kebanyakan, cukai baharu yang bakal diperkenalkan nanti mungkin dikenakan kepada golongan kaya sahaja.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mungkin memperkenalkan cukai kepada golongan kaya bagi menambah pendapatan negara selepas melaksanakan sistem cukai regresif, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pakar Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Illias berkata, melihat kepada corak pentadbiran kerajaan baharu yang tidak mahu membebankan rakyat kebanyakan, cukai baharu yang bakal diperkenalkan nanti mungkin dikenakan kepada golongan kaya sahaja.

“Saya tidak rasa kerajaan akan menaikkan cukai sedia ada atau mengenakan cukai kepenggunaan kerana kebanyakan rakyat di negara ini terdiri daripada golongan pertengahan.

“Ini akan membebankan mereka dan golongan bawahan.

“Jadi saya rasa mungkin kerajaan akan mengenakan cukai kepada golongan kaya atau mungkin juga Cukai Harta Warisan akan diperkenalkan.

“Ini merupakan antara segmen yang masih boleh lagi dikenakan cukai,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Suhaimi mengulas mengenai cadangan kerajaan yang akan memperkenalkan cukai baharu semasa pembentangan Bajet 2019, 2 November ini.

Jelasnya, kerajaan perlu mencari jalan untuk mendapatkan semula pendapatannya daripada kutipan GST yang hilang selepas pengenalan semula SST di samping keperluan menambah perolehan selepas negara bergelut dengan hutang serta komitmen untuk membayar semula kutipan GST kepada peniaga.

Selain cukai kepada orang kaya, Suhaimi berkata, kerajaan juga mempunyai ruang untuk memperkenalkan cukai soda.

“Cukai soda boleh dikenakan dengan alasan ianya tidak baik untuk kesihatan,” katanya. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan