Firdaus Abdullah
Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Firdaus Abdullah bercakap pada forum yang bertajuk "Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera : Antara Etos dan Pathos" sempena Siri Wacana Cendekiawan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kebanyakan drama Melayu yang disiarkan stesen televisyen tempatan mengandungi 50 hingga 80 peratus slot yang berunsur negatif.

Menurut mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Firdaus Abdullah, jalan ceritanya tidak membuka minda terutama kepada orang Melayu untuk berubah sikap.

Ini kerana katanya, setiap drama mengandungi unsur kemarahan, kebencian, kutukan dan perkara negatif.

“Drama berunsur seperti inilah yang disiarkan hampir setiap hari pada waktu senja dan malam. Ia disiarkan oleh televisyen kita (tempatan)

“Ini semua mempunyai kesan negatif kepada masyarakat kita, dan alangkah baiknya setiap stesen televisyen, tidak kiralah TV3 atau RTM menyiarkan drama yang mempunyai ajaran yang baik untuk mendidik.

“Saya tidak tahu sejauh manakah mana-mana pihak menilai atau mengadakan pemantauan mengenai nilai-nilai negatif ini,” katanya pada Siri Wacana Cendekiawan ATMA, Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: antara etos dan pathos di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Dr Firdaus turut menyalahkan penulis yang menulis jalan cerita seperti itu dengan tujuan supaya skrip mereka laku, tetapi pada masa sama mereka membelakangkan nilai-nilai mendidik.

“Bagi saya ini adalah racun yang berunsur antidot dalam revolusi,” tegasnya. – MalaysiaGazette