Keputusan kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu mengambil kira kebajikan 7,000 pekerja di jajaran rel berkenaan di Terengganu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan, apabila berlaku pengecilan skala projek serta pengurangan skop kerja sudah semestinya menyebabkan kos pembinaan menurun berbanding perjanjian asal.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Media Barat telah melakukan pentafsiran di luar konteks apabila menyamakan penundaan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebagai kegagalan Belt and Road Initiative (BRI) oleh China.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Tan Yew Sing berkata, idea ECRL telah tercetus sebelum BRI diumumkan Presiden China, Xi Jinping pada 2013, dan projek Malaysia itu justeru tidak harus dilihat sebagai fokus dalam strategi Beijing.

“ECRL pada asalnya hanya merupakan sebahagian daripada rangkaian kereta api Trans-Asia. Cuma ECRL secara kebetulan selari dengan matlamat BRI.

“Pembinaan ECRL ditundakan kerana soal kos, ia tidak harus dilihat sebagai kegagalan BRI,” katanya seperti dipetik China Press ketika berucap dalam majlis ulang tahun ke-28 MCCC.

Beliau berkata, walaupun hubungan Malaysia-China berdepan sedikit cabaran, tetapi ia masih bertumbuh secara positif.

Yew Sing percaya, kerajaan Malaysia akan terus mengalu-alukan kehadiran pelabur China jika mereka mematuhi undang-undang, menghormati budaya tempatan serta membawa nilai tambah kepada negara ini.

“Hakikatnya, perusahaan di Malaysia semakin kompetitif dari segi kepakaran dan pengalaman untuk bekerjasama dengan pelabur China.

“Saya jangkakan bahawa pelbagai pelaburan China akan terus bertumbuh di negara ini,” katanya.

Beliau berharap supaya agensi kerajaan akan bersikap mesra pelabur bagi membolehkan Malaysia mengekalkan daya saingnya dalam kalangan negara-negara BRI.

Sementara itu, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, penundaan projek-projek pelaburan China di Malaysia hanya merupakan “kes individu”.

Beliau percaya, dengan berasaskan hubungan baik antara kedua-dua negara, masalah sedia ada akan dapat diselesaikan melalui kaedah menang-menang. – MalaysiaGazette