Kemunculan beribu-ribu kerang di satu kawasan berpasir di Pulau Ketam di Selangor menimbulkan kebimbangan penduduk dengan ada yang melihatnya sebagai petanda awal bencana alam. - foto hiasan
Kemunculan beribu-ribu kerang di satu kawasan berpasir di Pulau Ketam di Selangor menimbulkan kebimbangan penduduk dengan ada yang melihatnya sebagai petanda awal bencana alam. - foto hiasan

KLANG – Kemunculan beribu-ribu kerang di satu kawasan berpasir di Pulau Ketam di Selangor menimbulkan kebimbangan penduduk dengan ada yang melihatnya sebagai petanda awal bencana alam.

China Press melaporkan, fenomena luar biasa itu berlaku pada Ahad apabila kerang keluar daripada tanah secara beramai-ramai sehingga kawasan berpasir dipenuhi haiwan laut itu.

Memandangkan keadaan itu dikatakan tidak pernah berlaku, sesetengah penduduk segera membayangkan tsunami yang melanda Sulawesi, Indonesia baru-baru ini.

Sebelum ini, penduduk pulau juga bimbang lebih seminggu akan fenomena air pasang yang berlaku pada Oktober.

“Kerang ini biasanya berada di dalam tanah, tetapi kali ini mereka keluar secara beramai-ramai apabila air surut,” kata seorang penduduk.

Kawasan berpasir itu ditenggelami air semasa air pasang, tetapi ia akan timbul semula ketika air surut.

Dalam keadaan biasa, orang ramai perlu mengorek untuk mendapat kerang tersebut, tetapi fenomena luar biasa membolehkan penduduk pulau hanya mengutip tanpa perlu mengorek.

Walaupun terdapat orang yang mengambil kesempatan untuk mengutip kerang berkenaan, tetapi jenis kerang itu dikatakan tidak mempunyai nilai pasaran melainkan untuk dimakan sendiri. – MalaysiaGazette