Najib Razak

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk menjual aset negara bukan bertujuan mengurangkan hutang tetapi menampung kehilangan hasil RM40 bilion selepas melaksanakan sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Lantaran itu, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan langkah tersebut umpama menggadai masa depan negara bagi menampung langkah populis Kerajaan Pakatan Harapan.

Bekas Perdana Menteri itu tetap mempertahankan hutang negara bukanlah RM1 trilion berdasarkan laporan dari ketiga-tiga Agensi penarafan kredit antarabangsa di dunia dan Bank Dunia baru-baru.

“Masalah pokok ialah langkah-langkah populis seperti tempoh bebas cukai 3 bulan (tax holiday), bertukar dari GST ke SST yang menyebabkan pengelakan cukai berleluasa dan mengembalikan subsidi pukal yang nyata banyak ketirisan telah menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM40 bilion.

“Akibat dari langkah-langkah ini, rakyat pula digesa untuk berkorban dan mendepani kesusahan,” katanya melalui satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Tony Pua, Setiausaha Politik Menteri Kewangan yang memberitahu, Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional akan mencairkan aset tak strategik dan saham untuk membayar hutang.

Najib berkata, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, aset Khazanah telah naik dari RM33.7 bilion dari akhir 2008 kepada RM115.7 bilion pada akhir tahun 2017 manakala aset PNB naik dari RM120 bilion kepada RM279.2 bilion.

Dana PNB sendiri, iaitu aset negara, telah naik dari sekitar RM12 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM43.9 bilion pada akhir 2017.

Meskipun penjualan aset negara terutama aset dalam bentuk saham disenarai adalah langkah yang paling mudah untuk diambil tetapi Najib mempersoalkan adakah langkah itu bijak dan betul.

“Kita patut mengimbangi kos berbanding kebaikan (cost vs benefit) sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Hutang kerajaan kebanyakannya adalah dalam bentuk bon ataupun sukuk. Kadar faedah ke atas bon-bon ini adalah sekitar 3.6 peratus setahun.

“Purata kadar pertumbuhan aset dalam Khazanah ialah 9.6 peratus setahun manakala PNB ialah 9.2 peratus setahun – jauh lebih tinggi dari kos faedah hutang.

“Saya beri contoh: pada tahun 2008, aset Khazanah ialah RM33.7 bilion. Jika kita jual keseluruhan aset Khazanah pada tahun itu, kita dapat mengurangkan hutang negara sebanyak RM33.7 bilion.

“Ia juga bermaksud kita akan mengurangkan beban faedah hutang sebanyak RM1.2 bilion setahun jika kadar riba ialah 3.6 peratus – iaitu penjimatan RM10.1 bilion untuk tempoh 9 tahun sehingga akhir tahun 2017.

“Oleh kerana pada masa itu kita tidak jual aset Khazanah, asetnya meningkat dari RM33.7 bilion kepada RM115.7 bilion pada akhir tahun 2017 – iaitu keuntungan RM82 bilion.

“Pilihan mana yang lebih bijak? Keuntungan RM82 billion ataupun penjimatan RM10.1 bilion?,” katanya.

Najib berkata, Menteri Kewangan sebenarnya pakar jual aset kerana semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng banyak jual tanah, hak tanah dan saham milik kerajaan negeri untuk menunjukkan lebihan bajet setiap tahun, walaupun perbelanjaan tahunan kerajaan negeri naik sebanyak tiga hingga empat ganda lebih banyak selama 10 tahun itu.

“Sekadar nak jual aset, bukan pandai pun. Meningkatkan ekonomi negara yang akan turut melonjakkan hasil kerajaan ialah langkah yang patut diambil.

“Apa yang saya risau ialah, penjualan aset-aset dan tanah negara ini bukan untuk mengurangkan hutang tetapi untuk menampung kehilangan hasil RM40 bilion ini.

“Kita sama-sama tengok bajet yang akan datang ialah bajet lebihan ataupun bajet defisit. Jika defisit maksudnya, penjualan aset dan tanah ialah untuk menampung kehilangan hasil dan bukan untuk mengurangkan hutang,” katanya. – MalaysiaGazette