Sulawesi
Keadaan di Palu, Sulawesi akibat gempa bumi yang melanda, bulan lalu.

JAKARTA – Kerajaan wilayah Sulawesi Tengah memutuskan untuk menukar kawasan yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat bulan lalu kepada taman peringatan atau tapak bersejarah.

Langkah itu diambil ketika mayat mangsa yang tertimbus akibat banjir lumpur tidak dapat ditemui sebelum operasi mencari tamat esok.

“Pengeluaran mangsa bencana akan dihentikan menjelang tarikh akhir bantuan bencana. Kawasan seperti Perusahaan Umum Pembangunan Perumahan Nasional (Perumnas) Balaroa, Petoboa dan Jonooge akan ditukar kepada taman peringatan atau tapak bersejarah dan tugu akan dibina di lokasi berkenaan,” kata Gabenor Sulawesi Tengah, Longki Djanggola di Palu, semalam.

Agensi Pencegahan Bencana Nasional (BNPB) berkata, pencarian ribuan mangsa yang masih hilang di kawasan itu ditutupi pencairan tanah ketika gempa bermagnitud 7.5 dan tsunami 28 September lalu yang akan dihentikan berikutan kebimbangan keselamatan berhubung potensi bahaya kepada kesihatan.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan keluarga mangsa yang kebanyakannya menuntut agar kerajaan meneruskan usaha menyelamat bagi mencari orang tersayang.

“Jika kita terus cuba mengeluarkan mayat, bukan hanya mengenal pasti mangsa menjadi sukar, ia berpotensi menyebabkan bahaya wabak penyakit dan tempat kepada mereka yang masih hidup,” kata ketua BNPB, Willem Rampangilei dalam sidang medianya, kelmarin.

Menurut Reuters, angka kematian dalam bencana berganda di Palu, Donggala, Sigi dan Parigi Moutong meningkat kepada 2,100 semalam.

Lebih 10,600 orang cedera dan hampir 75,000 hilang tempat tinggal, selain 66,000 rumah musnah, menurut data terbaharu BNPB.

Anggaran 5,000 orang dilaporkan hilang di perkampungan Balaroa dan Petobo, walaupun BNPB berkata, angka itu berdasarkan maklumat ketua kampung.

Seorang penduduk di Perumnas Balaroa, Renald Refai memberitahu Jakarta Globe di Palu minggu lalu, kira-kira satu pertiga penduduk di kompleks perumahan itu terselamat.

Gegaran gempa mencetuskan pencairan tanah, yang menimbus keseluruhan kompleks perumahan dan kawasan sekitar perkampungan Balaroa.

Pemimpin agama mencadangkan kepada kerajaan supaya berhenti mengeluarkan mayat daripada kompleks perumahan itu yang menempatkan kira-kira 800 isi rumah atau anggaran 5,000 orang.

Ketika mesyuarat diketuai Longki di Palu kelmarin, pemimpin agama mencadangkan, kawasan terjejas ditukar kepada kubur besar dan mangsa terselamat dipindahkan ke lokasi selamat.

Ketua daerah kecil Palu Selatan, Ashar Yotomaruangi berkata, kira-kira 13,000 orang terjejas akibat gempa di Petobo namun, hanya kira-kira 4,900 orang disahkan selamat, sementara bakinya masih hilang. – MalaysiaGazette