Dr. Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk memupuk perkongsian awam-swasta yang lebih baik dan memberi fokus untuk meningkatkan penjagaan kesihatan primer di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah menzahirkan perkara itu semasa melakukan kunjungan hormat menemui Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Pasifik Barat yang akan melepaskan jawatan, Dr Shin Young-Soo, di luar Mesyuarat Jawatankuasa Serantau WHO untuk Pasifik Barat, di Manila, Filipina.

Mesyuarat Serantau WHO bagi Pasifik Barat ke-69 bermula pada 8 sehingga 12 Oktober.

“Dalam pertemuan itu, Dr Shin membincangkan mengenai pemerhatiannya mengenai Malaysia semasa berkhidmat sambil berkata, sistem penjagaan kesihatan primer Malaysia adalah aset yang dicemburui oleh negara lain dan rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana mempunyai sistem penjagaan kesihatan terbaik yang boleh diakses oleh semua,” kata Dzulkefly.

Turut menemani Dzulkefly dalam kunjungan itu Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu Dzulkefly berkata, Pengarah Serantau, seorang warga Korea Selatan yang tuurt hadir pada program itu berharap semoga beliau (Dzulkefly) mempunyai iltizam politik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memastikan Malaysia memberi lebih banyak tumpuan di kawasan luar bandar bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Selain itu, kata beliau Dr Noor Hisham juga telah mengadakan perbincangan tidak formal dengan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom.

“Beliau telah menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menyokong Pusat Perkhidmatan Global WHO di Cyberjaya sebagai satu bentuk sumbangan kepada WHO dan Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan WHO dalam pelbagai aktiviti. – MalaysiaGazette