Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai yang turut dihadiri bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar (dua kiri) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 10 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar berpendapat manifesto Pakatan Harapan hanyalah panduan yang ditetapkan kerajaan baharu dalam membawa agenda mensejahterakan rakyat.

Kata beliau, mandat rakyat yang diterima kerajaan Pakatan Harapan mempunyai tempoh yang lama iaitu lima tahun.

“Saya tidak fikir mana-mana kerajaan di dunia ini bergantung dan mengikuti manifesto sepenuhnya.

“Ia bertempoh panjang lima tahun dan PH akan menyampaikannya. Jadi apa yang dikatakan oleh Rafidah Aziz ialah betul,” katanya menyokong kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang menggesa kerajaan Pusat tidak terlalu terikut kepada janji dalam manifesto.

Tambah beliau, walaupun PH mahu  memenuhi apa yang dijanjikan manifesto, tetapi ia harus dilaksanakan setakat yang mampu dalam jangka masa 100 hari itu.

“Tetapi yang lain semua (manifesto) kena ikut kedudukan kewangan semasa.

“Ketika dia di luar (pembangkang) mana dia nak tahu kedudukan kewangan kemampuan kerajaan.

“Tetapi apa yang penting sekali apa rakyat nak itu sebenarnya kita kena fokus.. rakyat nak masyarakat terbuka, wakil rakyat yang mesra dan setiakawan serta tidak ada perasaan takut selain sensitif dengan isu semasa rakyat,” tegasnya lagi.

Syed Hamid berada di sini bagi mengiringi Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen di Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) sebagai calon PH untuk PRK Port Dickson- MalaysiaGazette