Mohd Saiful Bukhari Azlan
Mohd Saiful Bukhari Azlan

PORT DICKSON – Saiful Bukhari Azlan merayu pengundi di kawasan Parlimen itu supaya menilai tindakan Pakatan Harapan (PH) yang menamatkan kontrak MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MMC Gamuda) bagi kerja bawah tanah projek Mass Transit Line 2 (MRT2).

Tindakan itu menyebabkan sehingga 20,000 pekerja berisiko hilang pekerjaan.

Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu berkata, walaupun keputusan PRK tidak dapat mengubah atau menjatuhkan kerajaan namun ia bakal memberi tekanan dan isyarat bahawa dasar dan tingkah laku mereka tidak diterima rakyat.

Justeru katanya, ia bakal membuatkan kerajaan takut untuk bertindak sesukahati dan sedar jika rakyat boleh angkat mereka ke puncak kuasa, rakyat juga boleh menjatuhkan mereka.

“Kepada pengundi Port Dickson. saya merayu supaya nilailah apa yang Parti Pakatan Harapan hari ini lakukan dengan mata hati anda.

“Mandat yang anda berikan pada PRU14 lalu diperlekehkan seolah-olah anda tidak mempunyai maruah. Bolehkah anda sandarkan harapan kepada mereka dan berapa ramai lagi rakyat Malaysia bakal kehilangan kerja kerana permainan politik dan kerakusan kerajaan baharu ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Rakyat memilih PH pada PRU14 lalu untuk menikmati kehidupan lebih baik, ekonomi yang makmur dan janganlah (PH) permainkan mandat rakyat, era Malaysia Baharu rakyat yang lebih berkuasa,” ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, kerajaan baharu PH seolah-olah tidak mempedulikan nasib 20,000 pekerja yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga mereka.

SEmentara itu, Saiful memberitahu, pembatalan kontrak MMC Gamuda KVMRT dan MMC Gamuda adalah ‘wayang’ untuk menghalalkan kronisme.

Ujar beliau, tender semula bagi projek ini adalah salah satu usaha menguntungkan syarikat-syarikat kroni.

“Kantung mereka semakin kembung, kantung rakyat semakin nipis. Era Malaysia Baharu penuh dengan politik kebencian, nepotisme, dan kronisme.

“Justeru memandangkan calon Pakatan Harapan kita ini mendakwa beliau adalah bakal Perdana Menteri ke-8, saya ingin bertanya adakah calon PH DS Anwar Ibrahim setuju dengan perkara ini?

“Penamatan kontrak yang berselindung di sebalik alasan penjimatan, apakah jaminan dan penyelesaian yang dapat diberi terhadap 20,000 nasib pekerja yang bakal kehilangan punca pendapatan oleh kerana pembatalan projek berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan