Pengerusi Yayasan Mahkota, Tan Sri Dr. Kamal Salih bercakap kepada media selepas selesai menghadiri forum yang bertajuk "Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera : Antara Etos dan Pathos" sempena Siri Wacana Cendekiawan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Bagi Yayasan Mahkota, minda orang Melayu sudah berubah berbanding tahun 70-an yang mana ketika itu ramai memilih untuk bekerja kerajaan dan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih berkata, sekarang orang Melayu sudah berani untuk melibatkan diri dalam perniagaan walaupun secara kecil-kecilan dan tidak lagi mengharapkan kerja makan gaji atau kerja tetap.

“Memang sudah ada perubahan dari segi sikap orang Melayu dah mula nak berniaga. Dulu, di tahun 70-an, mereka tak nak berniaga sebab nak cari kerja tetap dengan kerajaan, masuk askar.

“Sekarang sikap mereka lebih terbuka, dah mula nak berniaga, maka usaha ini harus dilaksanakan dan dilipatgandakan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Siri Wacana Cendekiawan ATMA – Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: antara etos dan pathos di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Antara ahli panel siri wacana itu ialah Presiden Majlis Tindakan Wakaf Antarabangsa (IWAQ), Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor; mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Datuk Seri Dr Ir Zaini Ujang; dan mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Wacana itu turut disertai kira-kira 50 aktivis politik UMNO, Pakatan Harapan (PH), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan para ilmuwan.

Menurut Dr Kamal, tujuan wacana itu adalah untuk mengkaji atau melihat semula apakah pencapaian revolusi mental pertama yang dilancarkan tahun 70-an itu selari dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Katanya, dalam menganalisis DEB, pihaknya tahu ada beberapa masalah yang dihadapi sekarang termasuk ekonomi orang Melayu masih lagi kurang mantap, masalah pekerjaan, pelajar universiti, pertumbuhan ekonomi yang mencabar, termasuk ekonomi antarabangsa yang masih lagi tidak menentu.

“Dari segi revolusi mental kali kedua ini pula, ia adalah sebahagian daripada rancangan yang sama dengan tahun 70-an iaitu untuk mengubah sikap orang Melayu.

“Cuma banyak perubahan berlaku walaupun ada yang kata ianya perlu dirombak semula ataupun pencapaiannya telah menyeleweng, melencong dan tidak mencapai matlamat.

“Tapi yang menimbulkan masalah dan menjadi isu masa kini ialah mengenai akhlak, moral, etika, ukhuwah, persaudaraan sesama jiran, kebajikan dalam bentuk gotong-royong telah runtuh,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, masyarakat hari ini seperti kucar kacir dan bercelaru, kesatuan antara kaum semakin bertambah, sekali gus menandakan masih ada masalah dari segi akhlak yang belum dapat dibaiki sepenuhnya.

Dr Kamal bagaimanapun, memuji pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan, yang baginya bersikap terbuka dalam menerima revolusi mental Melayu berbanding kerajaan terdahulu. – MalaysiaGazette