Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul bercakap kepada media selepas menghadiri Seminar Gearing Up For Corporation Liability anjuran Malaysia Anti Corruption Academy (MACA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menghalang para pegawainya untuk berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk ahli politik.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull bagaimanapun berkata, persahabatan itu perlu ada batas apabila mereka tidak boleh membocorkan maklumat dan bukti kepada rakan-rakan.

“Semua pegawai SPRM boleh berkawan dengan sesiapa sahaja dengan syarat bukan sahaja jangan bocor maklumat tetapi bukti yang kita sasar.

“Hendak berkawan kita tidak halang dan tak kan saya hendak halang Datuk Shamsun (Timbalan Ketua Pesuruhjaya) tidak boleh kawan dengan ahli PKR atau UMNO. Tidak boleh macam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri seminar bertajuk ‘Gearing Up For Corporate Liability’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pada Isnin lalu yang mendapat maklumat daripada ‘orang dalam’ agensi itu bahawa presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipanggil memberi keterangan di SPRM hari ini.

Shukri menegaskan pihaknya tidak mempunyai keperluan untuk menyiasat siapa ‘orang dalam’ itu.

Ini kerana jelas beliau notis perintah kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu bukan lagi satu rahsia kerana Ahmad Zahid mungkin telah memaklumkan kepada peguam dan ahli keluarga dan rakan-rakannya.

“Jadi bukan rahsia lagi dan tidak boleh kata orang dalam bocor kerana notis itu sudah jadi dokumen awam,” katanya.

Pagi tadi, Ahli Parlimen Bagan Datuk sekali lagi hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini  bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan sebuah yayasan.

Beliau tiba di SPRM Putrajaya, dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Lexus berwarna putih, jam 9.20 pagi.

Ini adalah kali ketiga Ahmad Zahid dipanggil SPRM.

Kali pertama dan kedua adalah pada 2 dan 3 Julai lalu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan