Datuk Shahril Ridza Ridzuan
Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR- Sekiranya Silterra Malaysia Sdn. Bhd. (Silterra) terlibat dalam projek kereta nasional ketiga adalah kerana syarikat tersebut adalah pengeluar cip untuk industri automotif bukan kerana mempunyai kaitan dengan Khazanah Nasional Bhd.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menjelaskan setakat ini, idea terbaharu Perdana Menteri itu masih belum ada keputusan muktamad.

“Secara asasnya masih tiada keputusan yang dibuat kerana menurut kerajaan, mereka masih mengkaji sama ada projek tersebut boleh dijalankan atau tidak.

“Dari perspektif Khazanah, kami hanya menyediakan perkhidmatan menerusi sebuah anak syarikat yang memang merupakan pengeluar semi-konduktor dan cip untuk industri automotif.

“Silterra yang disebut-sebut ramai itu memang pengeluar cip untuk komponen-komponen kereta antaranya cip untuk sensor dan sebagainya.

“Jadi jika Silterra terlibat (dalam projek kereta nasional ketiga) adalah kerana mereka adalah pembekal untuk sebarang projek automotif secara semulajadi,” katanya ketika membuat pembentangan dalam sesi pelaburan syarikat Malaysia ke China sempena Persidangan China di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat kebimbangan mengenai penggunaan dana awam seperti Khazanah Nasional untuk membiayai projek terbaharu ilham Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Dalam perkembangan berbeza, ketika ditanya mengenai campur tangan politik dalam pentadbiran Khazanah Nasional, Shahril Ridza berkata, sayap pelaburan negara itu bekerjasama rapat dengan kerajaan di dalam menjayakan mandat strategik yang diamanahkan kepadanya.

“Kami diberikan dua mandat iaitu mandat komersial sepenuhnya dan mandat strategik.

“Bagi mandat strategik kami perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk membantu mereka dalam projek-projek berkaitan rakyat seperti infrastruktur,” katanya.-MalaysiaGazette