Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Ceramah Mega Pakatan Harapan Dun Lukut sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Dun Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Presiden PKR yang juga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi berkata, keputusannya memilih Port Dickson untuk memulakan langkah ke Parlimen adalah tepat.

Ia terpulang kepada pengundi Port Dickson untuk merealisasikan impian Pakatan Harapan (PH) untuk menjadikan beliau Perdana Menteri.

“Saya tertanya apa betul pengundi Port Dickson sokong saya? Tapi bila saya datang sini sudah seminggu, saya sangat suka dan percaya saya buat keputusan betul pilih Port Dickson.

“Dengan bangga, saya rasa saya buat pilihan tepat. Dengan disokong oleh semua kepimpinan Pakatan Harapan termasuklah Perdana Menteri,” katanya dalam Ceramah Mega di bilik gerakan DUN Lukut.

Hadir sama adalah veteran DAP, Lim Kit Siang, dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Dalam pada itu, Anwar turut berjanji akan memastikan tugasnya sebagai Ahli Parlimen adalah keutamaannya sebelum memegang jawatan Perdana Menteri kelapan.

“Saya janji satu kepada pengundi PD. Saya akan beri yang terbaik kepada rakyat PD,” katanya lagi.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Anwar ditentang enam calon lain antaranya calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, dan lima calon bebas.

Mereka terdiri daripada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen. -MalaysiaGazette