Rapid KL
Rapid KL

KUALA LUMPUR- Rapid KL akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan berhubung insiden yang melibatkan bas Rapid KL berdekatan Taman Eko Rimba Kuala Lumpur di Jalan Raja Chulan pagi ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Trafik, Jalan Bandar, Kuala Lumpur dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Dalam insiden kira-kira jam 8.20 pagi tadi, sebuah bas yang dalam perjalanan dari Hab Bas Pandan Indah ke pusat bandaraya itu terlanggar pembahagi jalan sebelum melanggar tiga buah kenderaan lain.

Dua pemandu kereta tersebut mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Enam penumpang berada dalam bas ketika insiden berkenaan. Tiada kecederaan dilaporkan. -MalaysiaGazette