KUALA LUMPUR – MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd menyerahkan isu penamatan kontrak kerja-kerja bawah tanah MRT2 kepada Perdana Menteri.

Dalam kenyataan di sini, MMC Gamuda menyambut baik keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyemak semula pembatalan kontrak kerja-kerja bawah tanah MRT2.

“Sehubungan itu, kita menyerah perkara ini kepada Perdana Menteri,” katanya

MMC Corporation Berhad dengan Gamuda Berhad mengendalikan projek itu dengan usaha sama 50-50.

MMC Gamuda juga berkata, pihaknya komited untuk mengadakan perbincangan seterusnya dengan Kementerian Kewangan dan bekerjasama dengan kementerian itu bagi mencapai persetujuan pengurangan kos bagi kontrak berkenaan.

Syarikat usaha sama itu berharap kerajaan akan memanggilnya semula ke meja rundingan sebagai sebahagian daripada semakan proses.

MMC Gamuda juga meminta semua pihak berkepentingan terutamanya kakitangannya, subkontraktor dan pembekal untuk terus bertenang, bersabar dan mempercayai kebijaksanaan Perdana Menteri dalam melaksanakan proses semakan.

Semalam, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan menyemak semula keputusan untuk memanggil tender antarabangsa bagi kerja-kerja bawah tanah MRT2.

Ini kerana, katanya, pembatalan kontrak itu akan menjejaskan 20,000 orang pekerja. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan