Siti Noor Iasah

KUALA LUMPUR – Atlet paralimpik negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin dan Nasharuddin Mohamad bakal menerima insentif dari kerajaan negeri atas kejayaan mereka  mendapat pingat emas pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar dalam satu kenyataan mengumumkan perkara itu sambil mengucapkan tahniah kepada dua atlet olahraga kelahiran Johor itu.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bagi memikirkan pemberian insentif kepada atlet paralimpik dari negeri ini yang berjaya dalam temasya sukan tersebut.

“Kejayaan dua atlet paralimpik kelahiran Johor itu menjadi pemangkin semangat kepada pasukan paralimpik Johor yang akan menyertai Sukan Para Sukma di Perak pada Disember 2018 nanti.

“Kejayaan itu secara tidak langsung dapat mengharumkan nama negeri Johor ke persada Sukan Asia,” kata Mohd. Khuzzan.

Siti Noor Iasah merangkul pingat emas pertama buat kontinjen negara dalam temasya sukan tersebut setelah memenangi acara akhir 400 meter (m) T20 wanita malah kecemerlangan itu berterusan apabila Nasharuddin menyumbang pingat emas kedua Malaysia dalam saingan 400m T20 lelaki. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan