Ahli Parlimen Damansara merangkap Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua hari ini mendakwa ‘orang atasan’ MMC-Gamuda sengaja mencari simpati rakyat dengan 'menjual' kisah nasib 20,000 pekerja bagi menutup pekung sendiri.
Ahli Parlimen Damansara merangkap Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua hari ini mendakwa ‘orang atasan’ MMC-Gamuda sengaja mencari simpati rakyat dengan 'menjual' kisah nasib 20,000 pekerja bagi menutup pekung sendiri.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Damansara merangkap Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua hari ini mendakwa ‘orang atasan’ MMC-Gamuda sengaja mencari simpati rakyat dengan ‘menjual’ kisah nasib 20,000 pekerja bagi menutup pekung sendiri.

Dalam surat terbuka kepada MMC-Gamuda, Tony Pua mendakwa Kementerian Kewangan bertindak menamatkan kontrak bagi kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) kerana keengganan syarikat itu mengurangkan kos yang mengikut kajian boleh dikurangkan.

Dakwa beliau, pada 7 September lepas, pengurusan tertinggi Gamuda-MMC telah mengadakan pertemuan dengan  Lim Guan Eng dan berbincang untuk mengurangkan harga kontrak pembinaan bahagian bawah tanah kepada RM14.58 bilion dengan penjimatan kos berjumlah RM2.13 bilion.

Bagaimanapun, kajian oleh seorang perunding kejuruteraan bebas mendapati kerajaan sebenarnya akan dapat menjimatkan RM4.19 hingga RM5.79 bilion bagi baki kerja sebanyak 60 peratus.

“Saya harus puji persembahan hebat anda. Anda mencari simpati menggunakan media sosial bahawa lebih 20,000 pekerja akan kehilangan kerja seandainya kontrak ini ditamatkan. Wow. Media sosial secara aktif mempromosikan kempen minta simpati dari rakyat untuk anda.

“Anda juga mengeluarkan surat sedang menunggu tawaran daripada Kementerian Kewangan, anda juga katakan penamatan ini tergesa-gesa malah menyoal pula tentang perunding jutera bebas kami.

“Kami tidak berminat untuk berperang mulut dengan anda sebaliknya kami lebih cenderung untuk gunakan ianya bagi lawan politik kami. Apa yang ingin saya jelaskan di sini, kita tamatkan kontrak kerana anda tidak mahu bantu mengurangkan kos sedia ada.

“Kerajaan PH telah putuskan tamat kontrak MMC-Gamuda kerana hormat kepada mandat rakyat untuk rakyat. Kita sebenarnya telah memaksimumkan penjimatan seboleh mungkin yang kita mampu jimat untuk perkara berkepentingan untuk rakyat,” katanya.

Tony Pua mengulas penamatan kontrak MMC-Gamuda yang kini sudah menjadi ‘viral’ terutamanya apabila membabitkan ‘periuk nasi’ hampir 20,000 pekerja yang rata-ratanya adalah golongan bumiputera selain daripada memberi kesan buruk terhadap ekonomi strategik negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, memandang­kan kerja bawah tanah kini mencapai 39 peratus siap, proses penamatan dan tender semula akan menjadi lebih rumit dengan garis masa untuk proses tersebut akan ditentukan sebaik sahaja butiran disahkan.

Tony Pua juga melahirkan rasa terkejut dengan tindakan MMC-Gamuda yang kini seolah-olah cuba menyalahkan barisan Kabinet dan kerajaan kerana penamatan kontrak.

“Adakah anda serius memberitahu rakyat Malaysia bahawa semua ini adalah salah barisan Kabinet dan kerajaan?

“Anda manipulasi maklumat kononnya perunding bebas kami tidak cukup syarat walaupun mereka ini sebenarnya telah menyelesaikan lebih daripada 80 projek di 24 negara luar Malaysia?

“Cukuplah, saya hendak tanya adakah ini alasan sebenar atau anda rasa terjejas selepas pembohongan anda ini telah didedahkan kepada kami bahawa kos MRT1 dan MRT2 jauh lebih rendah di negara Asia yang lain?

“Adakah kita perlu soal balik anda MMC-Gamuda yang pada awalnya bersetuju untuk mengurangkan kos kemudia enggan berkongsi data maklumat dengan jurutera perunding kononnya maklumat itu ‘rahsia perdagangan’?” soalnya. – MalaysiaGazette