Anwar Ibrahim
Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai yang membeli barangan keperluan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 10 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong teguran Tan Sri Rafidah Aziz terhadap Pakatan Harapan (PH) yang terlalu memberi tumpuan kepada janji manifesto sehingga mengabaikan perkara-perkara yang baik.

Anwar yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berkata, tidak salah apa yang diutarakan oleh bekas Menteri Kabinet itu kerana dia seorang pemimpin yang bijak dan berpengalaman dalam menilai sesuatu isu.

“Tak salah apa yang Rafidah cakap (jangan terlalu bergantung kepada manifesto),” katanya selepas berkunjung ke kedai Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) di Kem Tentera Port Dickson, Tanjung Lembah di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Ketua Wanita UMNO itu bahawa kerajaan PH tidak perlu terlalu terikut dengan intipati manifesto dan perlu diketepikan.

Rafidah berkata, kerajaan tidak boleh ke hadapan jika terlalu tertumpu untuk menunaikan janji-janji manifesto malah kerajaan juga memberi isyarat atau jangkaan yang silap sekiranya terlalu fokus kepada janji manifesto.

Menurutnya, kerajaan juga sudah sepatutnya mengenepikan janji-janji manifesto secara perlahan-lahan.

Anwar berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menjelaskan kepada kepimpinan kerajaan PH untuk menguruskan segala agenda yang harus dilaksanakan untuk rakyat.

“Dia (Tun M) menyediakan garis panduan teratur untuk kita dan akan bekerja berpandukan apa yang ditetapkan Mahathir,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan