Noor Rashid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Polis tidak ada membuka kertas siasatan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, polis juga tidak ada menyiasat Presiden UMNO itu, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Noor Rashid Ibrahim.

“Setakat ini PDRM tiada. Tiada siasatan dijalankan ke atas Datuk Seri Zahid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkara tersebut pada sidang media selepas menutup Forum Perdana Undang-Undang Pencegahan Keselamatan Negara dan Hak Asasi, di Maktab Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ahmad Zahid hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk diambil keterangan buat kali ketiga dipercayai berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dana Yayasan Akalbudi.

Kali pertama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipanggil ke agensi penguatkuasa undang-undang tersebut ialah pada Julai lalu berhubung perkara sama dan kali kedua beliau dipanggil adalah mengenai dana sebanyak RM2.6 bilion.

Noor Rashid juga memaklumkan polis tidak membuka sebarang kertas siasatan berhubung tuduhan sesetengah pihak yang mengaitkan penggunaan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh UMNO kepada Pas.

Katanya, perkara tersebut akan diteliti sekiranya terdapat laporan yang dibuat.

“Setakat ini tiada siasatan dibuat. Saya tak pasti mungkin ada laporan polis dibuat, kalau ada laporan kita akan lihat sama ada ia berunsur rasuah atau jenayah biasa..

“Kalau ada unsur rasuah kita akan rujuk ke SPRM tapi jika ada unsur jenayah komersial kita akan rujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” ujarnya.

Seramai 550 pegawai yang mengikuti diploma kepolisan serta pasukan beruniform lain hadir pada forum perdana yang berlangsung hampir tiga jam.

Forum tersebut disertai dua panelis iaitu Profesor Emiratus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Prof Madya Dr Azmi Sharom yang kedua-duanya merupakan Pensyarah Undang-Undang dari Universiti Malaya. – MalaysiaGazette