Paras air laut di Pelabuhan Klang ketika ini terkawal.
Paras air laut di Pelabuhan Klang ketika ini terkawal.

PELABUHAN KLANG – Northport (Malaysia) Berhad menafikan dakwaan yang tular bahawa pihaknya mengaktifkan siren amaran banjir, kononnya paras air laut terlalu tinggi.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat Northport, laporan itu tidak benar sama sekali dan keadaan masih terkawal.

“Kami ingin merujuk kepada mesej yang tular di platform media sosial berkaitan dengan siren amaran banjir yang dibuat oleh Northport pada hari ini (semalam).

“Kami ingin memaklumkan, pihak kami tidak pernah mengaktifkan siren amaran banjir seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengikut laporan yang ditular, ketika ini Northport telah mengaktifkan siren amaran banjir kerana paras air laut terlalu tinggi yang memungkinkan banjir akan berlaku di sekitar persisiran.

Laporan itu turut memberi peringatan kepada penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar mempersiapkan apa yang perlu.

Berdasarkan jadual pasang surut air bagi kawasan Pelabuhan Klang, paras air laut diramalkan berada pada paras tertinggi mulai hari ini sehingga Khamis dengan ketinggian mencecah 5.6 meter.

Sebanyak 10 kawasan di daerah itu antaranya Sementa, Pelabuhan Klang, Kampung Tok Muda, Kampung Sungai Keramat dan Kampung Perepat dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir akibat fenomena berkenaan.

Menurut jabatan itu lagi, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan semasa di pelabuhan itu dan memaklumkan kepada pihak berkaitan sekiranya air laut di Northport berada pada paras yang merbahaya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan