IDE
Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman menunjukkan kaji selidik persepsi pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 11 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini apabila sokongan terhadap calon Pakatan Harapan itu melonjak kepada 74 peratus.

Pendedahan itu diperolehi menerusi hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang melibatkan pengundi Port Dickson bermula hari penamaan calon pada 28 September hingga 30 September lalu.

Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian persepsi pengundi parlimen itu mendapati secara keseluruhanya seramai 85 peratus akan keluar mengundi pada Sabtu ini.

Ditanya mengenai faktor yang mempengaruhi pengundi keluar mengundi, beliau berkata pencalonan Anwar serta status sebagai bakal calon PM adalah faktor terbesar yang mendorong 40 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Tetapi kajian yang dijalankan juga menunjukkan 24 peratus tidak akan keluar undi disebabkan faktor bekerja pada hari Sabtu manakala 21 peratus lagi meluahkan kebosanannya untuk tidak keluar mengundi kali ini.

“Manakala dilihat pada sokongannya, Anwar sebagai calon kerajaan PH mendapat 72 peratus sokongan pengundi diikuti Pas 4 peratus, Mohd Isa Abdul Samad 6 peratus dan Stevie Chan 2 peratus dan dua lagi calon bebas masing masing 1 peratus tetapi 14 peratus lagi pengundi masih di atas pagar tanpa keputusan.

“Namun kajian kali kedua pada 8 dan 9 Oktober lepas menyaksikan sokongan pengundi untuk Anwar naik kepada 74 peratus, Pas (11 peratus) dan Isa (10 peratus), diikuti tiga calon bebas sebanyak 1 peratus namun di atas pagar turun drastik menjadi 2 peratus sahaja,” katanya dalam sidang media berkongsi persepsi pengundi Port Dickson di Bilik Gerakan Utama PH di sini.

Bagi Saiful Bukhari Azlan, katanya, IDE mendapat calon itu tidak mendapat sokongan pengundi manakala calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sukar menarik pengundi berbangsa Cina.

Mohammad Redzuan berkata, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional, pengundi tidak akan memilih Pas di kedua dua DUN Linggi dan Bagan Pinang.

“Sama ada mereka akan mengundi Isa atau tidak keluar mengundi kerana antara strategi yang dilakukan Anwar ialah sentuhan peribadi dengan pengundi BN kerana mereka masih ada hubungan sentimen dengan Anwar dan pertemuan bersemuka dengan calon itu akan menggalakkan mereka keluar undi,” katanya. – MalaysiaGazette