Pengerusi Pro 98 Reformis, Dr Badrul Amin Bahron ketika ditemuramah MalaysiaGazette di Padang Petanque, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Perubahan positif yang ditunjukkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendorong Kumpulan Pro 98 Reformis untuk menerima Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Tanpa mahu menilai sama ada perubahan Dr Mahathir itu tulen atau sebaliknya, Pengerusi Pro 98 Reformis, Dr Badrul Amin Bahron berkata, itu ada urusan perdana menteri dengan Tuhan.

Rumusan beliau, setiap orang ada peluang untuk menjadi baik dan penilaian perubahan itu bukanlah berdasarkan kisah silam mereka, justeru perkembangan positif yang ditunjukkan Dr Mahathir dalam melahirkan sokongan terhadap Anwar tentunya disambut baik.

“Itu kisah lama dan sebagai Muslim kita menilai orang baik bukan kerana kisah silamnya. Apakah orang jahat tidak berpeluang jadi baik?

“Manusia jahat bagaimanapun, ada ketika dia berubah. Dulu jahat sekarang baik, dan sama ada benar Dr Mahathir taubat akan perbuatannya atau tidak, bagi saya itu antara dia dengan Tuhan.

“Apa yang nampak ialah Dr Mahathir serius dalam memenangkan Pakatan Harapan dan menumbangkan BN.

“Maka kita tidak ada masalah untuk menyokong Dr Mahathir kerana kita sokong bukan kerajaan beliau, tetapi kerana dia sokongan Anwar Ibrahim,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu temubual eksklusif hari ini.

Pro Reformis adalah pecahan daripada kumpulan Otai Reformis 98 selepas pengerusinya, Shaari Sungip dan setiausahanya, Abdul Razak Ismail meletakkan jawatan masing-masing selepas Dr Mahathir dilantik sebagai Pengerusi PH.

“Reformis mengambil peluang memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang menyokong Anwar Ibrahim.

“Jadi tempoh yang ada sekarang adalah peralihan daripada Tun Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim. Ini tidak jadi satu masalah sebab ini merupakan taktik dan strategi perjuangan kita.

“Bagi kita sokongan terhadap Dr Mahathir disebabkan beliau menyokong Anwar Ibrahim. Sekiranya beliau tidak menyokong Anwar Ibrahim, kita akan bangkit menentang sesiapa sahaja yang menentang beliau,” katanya lagi.

MGF11102018_ANWAR BERJUMPA PERSATUAN REFORMIS07
Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama persatuan Reformis 98 pada Pertemuan Khas Bersama Reformis 98 Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Petanque, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2018.

Reformis 98 sebelum ini berjuang selama 20 tahun dalam mengangkat Anwar selaku perdana menteri.

Gerakan reformasi ditubuhkan selepas Dr Mahathir yang pada ketika itu Perdana Menteri keempat bertindak memecat Anwar pada September 1998.

Dr Mahathir menuduh Anwar tidak bermoral dan tidak sesuai untuk memimpin negara itu, manakala timbalannya itu mendakwa perdana menteri mereka-reka tuduhan salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa ke atas dirinya.

Anwar kemudiannya menubuhkan PKR yang kini bergabung dengan Dr Mahathir dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam memerintah Putrajaya bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Malah Pro Reformis 98 juga optimis bahawa Perdana Menteri ketujuh itu tidak akan mengulangi perbuatannya terhadap Anwar, 20 tahun lalu.

“Kalau dia ulangi balik apa yang beliau lakukan pada 1998, bermakna dia akan mengakhiri karier politik dengan nama yang busuk.

“Rakyat akan kecam dia dan lawan sekali lagi dan saya sebagai Pengerusi Pro Reformis 98 bersumpah kalau berlaku lagi insiden sama, saya akan bangkit lawan walaupun usia saya menjangkau 70 tahun,” katanya lagi. -MalaysiaGazette