Reaksi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (tengah) pada gimik pelancaran pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018 di Institut Latihan DBKL, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 OKTOBER 2018

KUALA  LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan prosuder operasi standard (SOP) untuk memudahkan pihak pengurusan hakmilik strata. 

Jelas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, SOP ini adalah untuk kegunaan pemaju menguruskan aduan-aduan daripada pemilik 

“Pihak DBKL terutamanya Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) sering menerima aduan daripada pemilik, JMB dan MC berkenaan permasalahan yang kini meliputi peringkat nasional.

“Aduan-aduan yang dikemukakan adalah berkait rapat dengan penginapan jangka masa pendek (AirBnB), penipuan oleh kontraktor dan masalah penyelenggaraan lif yang tidak sempirna, tunggakan caj penyenggaraan pemilik yang tinggi dan yang terkini permohonan daripada MC untuk menubuhkan subsidiari MC,” katanya

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pelancaran SOP dan perasmian konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018  “Komuniti Strata Tanggungjawab Kita Bersama” di Institut DBKL.

Antara SOP yang baharu ini, kata beliau, adalah berkaitan aktiviti penginapan jangka masa pendek kepada pemaju, penahanan harta alih, tatacara mesyuarat agung dan prosuder penyelenggaraan lif. 

SOP di bawah COB ini, katanya, adalah bagi memperincikan lagi pengurusan mengikut peringkat dan dalam masa yang sama memberi maklumat kepada pemilik strata.

Justeru itu diadakan konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan bagi menguar-uarkan SOP dan memberi kesedaran tentang penggunaan saluran yang boleh digunakan untuk membuat aduan.

“Ini untuk memperketatkan lagi supaya orang tahu lagi lebih terperinci supaya mereka dapat mengetahui peranan mereka sebagai penduduk untuk mendapat hakmilik strata.

“Sebab sekarang ini mereka tidak faham, itu sebab bila apa-apa benda rosak mereka terus rujuk kepada DBKL sepatutnya mereka ada JMB dan MC.

“Tapi nanti bila penerangan kepada mereka akan diterangkan satu-satu, ini tugas untuk ini dan SOP dan garis panduan sebab sekarang dianggap DBKL dibuat untuk apa-apa juga benda sedangkan benda itu boleh dibuat kepada JMB dan MC yang telah ditubuhkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette