Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Keputusan hendak menghentikan projek MRT2 yang membabitkan 20,000 orang kehilangan kerja bukan kali pertama tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek yang telah dirancang kerajaan terdahulu.

Sebelum ini pun, mereka telah membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan lain-lain menyebabkan puluhan ribu rakyat hilang sumber pendapatan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, manifesto kerajaan PH untuk mewujudkan sEjuta pekerjaan telah bertukar menjadi pemberhentian satu juta pekerja.

Katanya, dalam keadaan sukar masa kini, kehilangan pekerjaan dalam situasi kos sara hidup meningkat dan tidak lama lagi ibu bapa akan menghadapi musim persekolahan baru untuk tahun 2019, bakal menambahkan penderitaan rakyat.

“Alasan kerajaan akan melakukan tender semula dan mereka mungkin akan diambil semula oleh syarikat baru tidak dapat diterima.

“Kita tidak tahu bilakah proses tender semula itu akan selesai dengan pelantikan syarikat baru tersebut.

“Dalam jangkamasa itu apakah 20,000 pekerja ini akan mempunyai pendapatan?” soal beliau dalam kenyataan yang dipetik menerusi blognya https://dsismailsabri.com

Menurut Ismail Sabri, apakah kerajaan akan membayar pampasan dan jika berlaku pengambilalihan oleh syarikat baru sekali pun apakah jaminan syarikat itu akan menyerap semula keseluruhan lebih 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan itu.

Beliau mengingatkan, bahawa 60 peratus daripada kira-kira 20,000 pekerja itu adalah Bumiputera.

“Malah, antaranya terdiri dari golongan profesional rakyat Malaysia. Lebih malang lagi terdapat 600 syarikat yang menjadi pembekal, sub kontraktor dan lain-lain yang terlibat dengan projek tersebut bakal berdepan situasi sama dengan memberhentikan pekerja mereka dan syarikat mungkin akan gulung tikar.

“Kerajaan tidak seharusnya berpendirian dangkal oleh kerana MMC Gamuda dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, maka kontrak mereka perlu dibatalkan.

“Perlu diingatkan, MMC Gamuda telah dilantik melalui tender terbuka antarabangsa yang terpaksa bersaing dengan syarikat dari negara China, Korea dan Jepun,” katanya.

Untuk makluman, kata Ismail Sabri, pemegang saham dalam syarikat MMC Gamuda adalah dari Lembaga Tabung Haji (TH), Amanahraya Trustees Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lain-lain yang semuanya adalah institusi yang akan memberikan pulangan keuntungan kepada rakyat melalui peratus keuntungan dari projek MRT2.

Beliau turut difahamkan projek MRT2 itu telah siap 40 peratus pembinaannya dan keputusan kerajaan memberhentikannya juga mengundang tindakan saman untuk ganti rugi serta pampasan lain akibat penamatan kontrak tersebut.

“Tindakan mahkamah mungkin akan menggangu proses pelantikan syarikat baharu untuk menyambung projek berkenaan.

“Jika ini berlaku, kerajaan akan menanggung kerugian. Kelewatan pelantikan syarikat baharu tentu akan melewatkan 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan untuk mendapatkan semula pekerjaan mereka.

“Yang pasti 20,000 pekerja ini akan terus menderita dengan tindakan kerajaan PH yang tidak mengambil kira hak dan kebajikan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette