Isa Samad
Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad (kanan) ketika beramah mesra dengan penduduk kampung sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bandar Baru Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 11 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Calon bebas Tan Sri Isa Samad menyifatkan hasil kajian kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendakwa hanya 10 peratus pengundi akan mengundi beliau adalah ‘serangan psikologi’ yang cuba melumpuhkan kempennya.

Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, beliau tidak pasti sejauh mana kaji selidik yang dijalankan IDE boleh diyakini dan diterima dalam menentukan isi hati pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

“Saya tidak tahu menahu tentang Darul Ehsan (soal selidik pengundi) ini, kumpulan saya pula ada lain kajian dan masing masing ada kajian tersendiri.

“Kalau dia boleh berpegang kepada kajian Darul Ehsan, saya berpegang kepada Darul Isa,” katanya secara berseloroh kepada pemberita semasa turun berkempen bertemu pengundi di Melayu di Port Dickson.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil penemuan kaji selidik selidik IDE bahawa 74 peratus pengundi Port Dickson akan mengundi Datuk Seri Anwar Ibrahim atas prinsip pencalonannya sebagai bakal Perdana Menteri manakala hanya 10 peratus pengundi akan memilik Isa.

Isa berkata, kesemua yang diutarakan IDE hanyalah sekadar pandangan pertubuhan itu.

“Pandangan itu hanya menyokong kumpulan mereka (Patan Harapan) dan mesti yang menyokong (calon) mereka.

“Masing masing melakukan kajian soal selidik tersendiri dan tampil dengan pandangan berbeza..Ini semua hanyalah perang psikologi.

“Bagi saya, bukan sesuatu baharu bertanding dalam pilihan raya dan apapun sekali saya tetap bertanding, tiada apa yang boleh menakutkan saya,” katanya.

Menurut beliau, perubahan haluan parti dalam kalangan penyokong Barisan Nasional seperti didakwa IDE tidak akan berlaku menandangkan beliau masih disokong oleh pengundi tegar BN.

“Malah Ahli PKR di PD juga sebahagiannya akan sokong saya…saya tahu penyokong tegar PKR yang ubah arus parti menyokong saya sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette