Lebih 600 anggota dan pegawai polis yang sebelum ini berkhidmat di bawah beberapa pasukan khas akan ditempatkan di 10 jabatan lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

KUALA LUMPUR – Lebih 600 anggota dan pegawai polis yang sebelum ini berkhidmat di bawah beberapa pasukan khas akan ditempatkan di 10 jabatan lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata penempatan kesemua anggota dan pegawai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi, dan Gengsterisme (STAGG) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) itu kini dalam peringkat akhir dan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Katanya, sebaik pembubaran pasukan khas berkenaan pada Jun lepas, PDRM telah berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Dalam Negeri bagi melakukan rombakan.

“Proses ini sedang berjalan, ada yang akan dimasukkan ke Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebab kita kekurangan di JIPS…ada juga kita perkukuhkan bahagian tertentu seperti di Jabatan Narkotik.

Rombakan ini bukan sahaja melibatkan STAGG, STING dan STAFOC tetapi juga melibatkan jabatan lain yang kita fikir perlu untuk diperkukuhkan lagi,” katanya pada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PDRM akan menstruktur semula beberapa jabatan pasukan khasnya untuk tujuan penambahbaikan.

Menurut Muhyiddin, penstrukturan itu adalah untuk penambahbaikan PDRM agar dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada pasukan itu sekali gus mengembalikan imejnya sebagai pasukan yang dihormati sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa individu lagi bagi membantu siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mungkin ada, mungkin tidak (individu yang akan dipanggil untuk membantu siasatan) ,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan mengenai 1MDB.

Terdahulu, 55 pegawai menerima pemakaian pangkat manakala 159 anggota dan pegawai dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

— BERNAMA