Seorang sarjan tentera antara lapan lelaki Orang Asli yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki enam tahun lalu.
Gambar hiasan

TELUK INTAN — Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki 14 gambar lucah dalam telefon bimbitnya Ahad lepas.

Muhammad Aiman Tan Abdullah, 28, yang tidak bekerja didakwa memiliki 14 gambar lucah itu dalam telefon bimbit miliknya ketika diperiksa di Pejabat Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 11.10 malam, 7 Okt lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang masih bujang itu meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili Francis Sinnappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Tertuduh dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga ibunya.

Syahdatul Kamilah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan kes akan disebut semula pada 13 Nov nanti.

— BERNAMA