Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan seorang pereka grafik kontroversi atas tuduhan memuat naik gambar palsu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di akaun Instagramnya, dua tahun lalu.
Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Fahmi Reza, yang merupakan seorang pereka grafik kontroversi atas tuduhan memuat naik gambar palsu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di akaun Instagramnya, dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan seorang pereka grafik kontroversi atas tuduhan memuat naik gambar palsu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di akaun Instagramnya, dua tahun lalu.

Hakim Zamri Bakar membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memaklumkan Jabatan Peguam Negara bersetuju menarik balik pertuduhan terhadap Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 41, yang juga aktivis, selaku Orang Kena Saman (OKS) setelah menerima surat representasi yang dikemukakan peguamnya Syahredzan Johan.

“Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dihantar Mohd Fahmi Reza, sehubungan itu pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes dan memohon pertuduhan ke atas OKS ditarik balik mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah serta OKS dilepas tanpa dibebaskan,” katanya semasa sebutan semula kes itu hari ini.

Syahredzan bagaimanapun memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan atas alasan pihak pendakwaan tidak lagi berhasrat meneruskan kes itu dan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.Mohd Fahmi Reza menghantar dua surat representasi bertarikh 12 Jun dan 17 Julai lalu kepada Jabatan Peguam Negara bagi menarik balik pertuduhan ke atasnya semasa perbicaraan kes itu dengan tiga saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Pada 6 Jun 2016, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik gambar palsu bekas perdana menteri itu bertujuan menyakitkan hati orang lain, di akaun Instagramnya.

Dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Instagram ‘kuasasiswa’ di suatu pautan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 31 Jan 2016.

Pautan itu kemudian didakwa dibaca di satu alamat di Bandar Bukit Puchong 2, Puchong, Selangor, pada 6 petang, 1 Feb 2016.

Mohd Fahmi Reza dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksmimum RM50,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan