Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok hari ini untuk memulakan lawatan dua hari ke Thailand.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok hari ini untuk memulakan lawatan dua hari ke Thailand.

BALI (Indonesia) – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Bali, Khamis, untuk menghadiri Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN (ALG) yang ulung, menjadikannya sebagai kepulangan nostalgia beliau ke mesyuarat ASEAN di pulau peranginan ini selepas 15 tahun.

Persidangan ASEAN di Bali adalah acara terakhir beliau mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan 10 anggota itu apabila menamatkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 2003

Ini adalah lawatan kedua Dr Mahathir ke Indonesia sejak menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua selepas Pilihan Raya Umum yang bersejarah dicatatkan oleh Malaysia pada Mei lepas.

Sejurus ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pukul 11.45 pagi ini (masa yang sama di Malaysia), beliau disambut oleh Menteri Kerja Raya dan Perumahan Indonesia, Basuki Hadimuljono.

Perdana Menteri diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta para pegawai dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Tema bagi ALG kali ini “Mencapai Matlamat Kemampanan (SDG) dan Mengatasi Jurang Pembangunan menerusi Tindakan Kolaborasi Serantau dan Global”.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan pada perhimpunan itu di samping menghadiri jamuan malam rasmi yang dihos oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Para pemimpin ASEAN yang menghadiri perhimpunan itu ialah Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha.

Yang lain Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, Perdana Menteri Laos, Thongloun Sisoulith, Perdana Menteri Vietnam,, Nguyen Xuan Phuc dan Presiden Myanmar, U Win Myint.

Perdana Menteri juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatan ASEAN pada sisi perhimpunan itu.

Memandangkan perhimpunan itu dibuat serentak semasa mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia dari 8-14 Okt, para pemimpin ASEAN juga akan bertemu Pengarah Pengurusan IMF, Christine Lagarde, Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.

— BERNAMA