Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menggesa kementerian-kementerian yang bertanggungjawab terhadap Malaysia Airlines segera tampil memberi petunjuk jelas mengenai nasib syarikat penerbangan yang sudah bertahun-tahun dibelenggu masalah kewangan.

Sekretariat NUFAM dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kesatuan dan pekerja-pekerja Malaysia Airlines bimbang sekiranya pelan MAS 2.0 terpaksa diambil apabila syarikat penerbangan nasional itu sudah tidak mampu menampung kerugian.

“Terdapat laporan yang mengatakan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) menanggung kerugian sebanyak RM600 juta pada suku ketiga tahun ini dan sekiranya benar, mengapakah menteri-menteri yang bertanggungjawab sangat lambat mengambil langkah untuk mengatasi masalah tersebut?

“Apakah kita mahu melihat MAB terus dibantu dengan menggunakan wang pembayar cukai?” katanya.

Empat tahun lalu, Khazanah Nasional selaku pemilik MAB telah melancarkan satu pelan pemulihan lima tahun dengan sasaran untuk menyaksikan syarikat penerbangan itu mencatatkan keuntungan menjelang akhir 2017 dan disenaraikan semula ke Bursa Malaysia di antara tahun 2017 dan 2019.

Pelan pemulihan tersebut turut menyaksikan suntikan modal sebanyak RM6 bilion dan pemberhentian kira-kira 6,000 pekerja.

Menurut Sekretariat NUFAM, pihak pengurusan dan ahli lembaga MAB gagal melaksanakan pelan tersebut dengan baik sehingga menyebabkan syarikat masih terbelenggu hutang dan tidak mampu mencatatkan keuntungan sedangkan syarikat-syarikat penerangan negara jiran terus berkembang di sebalik peningkatan harga bahan api ketika ini.

Kegagalan tersebut juga telah menyebabkan kakitangan tidak menikmati kenaikan gaji sejak pengurusan baharu mengambil alih syarikat tiga tahun lalu.

“Kami berharap tindakan pantas dapat diambil oleh kerajaan baharu manakala pihak pengurusan sedia ada pula perlu bertanggung jawab penuh terhadap kerugian terkumpul sebanyak RM8.9 bilion sejak 2011,” katanya lagi.-MalaysiaGazette