Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada pengamal media selepas memberikan keterangan buat kali ke empat berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dana dalam Yayasan Akalbudi di bu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada pengamal media selepas memberikan keterangan buat kali ke empat berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dana dalam Yayasan Akalbudi di bu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan menyambung memberi keterangan kepada Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok jam 9 pagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh pihak media sama ada proses memberi keterangan hari ini selesai sepenuhnya atau bekas timbalan perdana menteri itu perlu hadir ke SPRM lagi.

“Saya datang balik esok,” katanya ringkas sebelum masuk ke dalam kereta.

Ahmad Zahid yang kelihatan sedikit keletihan setelah memberi keterangan hampir 9 jam sejak pagi tadi turut berterima kasih kepada pihak media kerana setia menantinya di luar bangunan SPRM.

“Saya tidak perlu membuat sebarang sidang media ketika ini, saya hanya mahu berterima kepada semua yang taat menunggu saya sejak awal lagi. Saya lega kerana rakan-rakan menanti saya,” ujarnya.

Ini merupakan kali keempat beliau hadir ke SPRM membantu siasatan oleh badan pencegahan rasuah itu berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Ahmad Zahid tiba di ibu pejabat SPRM di sini pukul 9.16 pagi tadi menaiki kereta Toyota Lexus.

Beliau yang memakai baju batik kehijauan sempat melemparkan senyuman serta melambai kepada petugas media yang sedang menunggu di luar pagar bangunan itu.

Ahmad Zahid hadir ke SPRM dengan ditemani anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Zahid yang tiba dengan sebuah kenderaan lain.

Semalam, Ahmad Zahid dan Nurulhidayah serta adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dipanggil ke SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ini juga merupakan kali keempat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan dengan kali pertama dan kedua beliau hadir adalah pada 2 dan 3 Julai lalu serta semalam. – MalaysiaGazette