Jabatan Hal Ehwal Khas
Jabatan Hal Ehwal Khas

KUALA LUMPURĀ – Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo didesak menunaikan janjinya kepada 1,200 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang menanti untuk diserapkan ke agensi lain selepas 15 Oktober ini.

Menurut ‘Warkah Terbuka Warga JASA buat Tun’ yang tular di laman sosial hari ini berkata, sehingga kini janji itu masih belum ditunaikan dan mereka hanya mangsa mainan politik Pakatan Harapan (PH).

“Dimanakah keadilan dan janji Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bahawa kami akan diserap masuk ke agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia?

“Kami merasakan diri kami adalah mangsa mainan politik. Apabila kami sudah diterima bekerja, kami hanya menurut perintah.

“Kami tidak boleh mengatakan tidak kepada arahan yang diberi. Jika tidak mengikut arahan akan diambil tindakan tatatertib dan boleh dibuang kerja,” kata surat terbuka itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Pada 23 Mei lalu, selain JASA, Kabinet telah memutuskan lima agensi dan jawatankuasa kerajaan akan dibubarkan iaitu Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menurut surat itu, keputusan pembubaran JASA berkuat kuasa mulai 15 Oktober ini disifatkan satu penganiayaan apabila hampir 1,200 kakitangannya hilang punca pencarian.

Surat itu mendakwa kakitangan JASA tidak sewajarnya menjadi mangsa pemberhentian beramai-ramai itu kerana mereka bukan lantikan politik seperti mana yang dicanang oleh pemimpin PH.

“Sehingga kini, kami masih lagi tertanya tanya apa salah dan dosa kami sehinggakan Tun tergamak untuk memberi arahan menamatkan kontrak kami.

“Kami bukan lantikan politik, kami perlu melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta melalui proses temuduga yang ketat untuk kelayakan dan pengalaman bekerja.

“Bukan semua yang ditamatkan kontrak ini adalah lantikan politik,” kata surat itu.

Surat itu berkata, kakitangan JASA hanya berkhidmat serta mempertahankan kerajaan hari ini dan bukan berdasarkan parti politik semata-mata.

“Tahukah Tun bahawa kami merupakan benteng di hadapan yang mempertahankan kerajaan yang ada?

“Kami merupakan pejuang-pejuang berada di belakang kerajaan untuk menyampaikan segala dasar-dasar negara kepada rakyat,” katanya.

Dakwanya, JASA ditubuhkan oleh Mahathir sendiri ketika menjadi Perdana Menteri keempat sebelum ini.

“Jangan Tun lupa bahawa JASA ditubuhkan semasa pemerintahan Tun sewaktu Tun menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat dulu.

“Apakah tindakan ini adalah untuk menyelamatkan kewangan negara? Kalau ya, kenapa pula kami menjadi mangsa?

“Kami terpaksa berdepan dengan persepsi negatif orang ramai yang mengatakan kami lantikan politik dan patut diberhentikan,” katanya.

Dalam surat tersebut Perdana Menteri ketujuh itu digesa mempertimbangkan keputusan untuk menyelamatkan 1,200 penjawat awam yang bakal hilang pekerjaan kerana keputusan politik.

“Ketika Tun bergembira bersama dengan keluarga terfikirkah nasib kami pekerja-pekerja kontrak yang telah diberhentikan?

“Kami juga mempunyai impian sama seperti Tun ingin melihat anak-anak berjaya namun semuanya hancur berderai.

“Kami tetap menaruh harapan semoga Tun berlembut hati dan memberi sinar harapan kembali buat kami dan keluarga. Dari Kami Insan-Insan Yang Terainaya. #JASAdalamkenangan,” katanya. – MalaysiaGazette