Nicolas Maduro
Nicolas Maduro. foto Agensi

CARACAS – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mendakwa pentadbiran Donald Trump cuba membunuhnya ekoran ketegangan hubungan antara dua negara yang berbeza ideologi.

Dalam satu kenyataan kepada stesen televisyen, Maduro yang juga bekas pemimpin kesatuan menuduh Amerika Syarikat telah meminta kerajaan di negara jiran Colombia untuk membunuhnya.

“Mereka telah mendapat arahan dari White House untuk bunuh Maduro. Namun mereka tidak akan dapat menyentuh rambut saya,” kata Presiden itu tanpa memberi penjelasan dan bukti terhadap tuduhan tersebut.

Setakat ini White House belum mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, pembangkang menyifatkan Maduro membuat tuduhan liar untuk menutup ketidakcekapannya.

Hampir dua juta rakyat Venezuela telah melarikan diri dari negara yang kaya dengan sumber minyak ekoran krisis ekonomi sejak tahun 2015.

Krisis itu mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, ubat, inflasi yang cukup tingg dan peningkatan jenayah kekerasan.

Washington telah mengenakan sekatan terhadap Venezuela dan mengutuk Maduro sebagai diktator yang telah menentang hak asasi manusia dan mencetuskan krisis ekonomi.

Kelmarin, White House menuduh kerajaan Maduro terlibat dalam kematian seorang ahli politik Venezuela yang sedang dipenjarakan.

Namun pihak berkuasa Venezuela memaklumkan ahli politik itu membunuh dirinya tetapi pihak pembangkang bertegas menyatakan dia dibunuh. – MalaysiaGazette