Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.

Pada jam 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.28 mata pada 1,708.21 daripada 1,708.49 pada Khamis. Indeks utama dibuka lemah 4.57 mata pada 1,703.92.

Di papan skor, rugi mengatasi untung 173 kepada 118, dengan 181 tidak berubah, 1,400 tidak didagangkan dan 17 digantung.

Di tengah-tengah dagangan yang aktif, jumlah dagangan adalah 132.66 juta unit bernilai RM74.08 juta.

Menurut Maybank Investment Bank, jualan ekuiti global berterusan malam tadi dipacu oleh kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah, justeru tekanan jualan dijangka meningkat pada sesi pagi sebelum aktiviti mengambil keuntungan mengambil tempat.

“Secara teknikal, kami menjangka FBM KLCI didagangkan antara 1,660 dan 1,730. Sokongan menurun adalah pada 1,680 dan 1,658,” kata bank pelaburan berkenaan dalam nota penyelidikannya hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Dialog menambah dua sen kepada RM3.33, Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM9.23, CIMB tidak berubah pada RM5.66, Hong Leong Bank susut 10 sen kepada RM20.20, Public Bank susut 18 sen kepada RM24.72, Hap Seng Consolidated susut 21 sen kepada RM9.36 dan Maybank susut empat sen kepada RM9.24.

Kaunter aktif, Orion AXL meningkat setengah sen kepada 10.5 sen, Gamuda naik lima sen kepada RM2.35, Barakah Offshore meningkat satu sen pada 13 sen, Borneo Oil tidak berubah pada enam sen, Sapura Energy susut setengah sen kepada 36 sen sementara Hibiscus Petroleum susut satu sen kepada RM1.18.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 28.83 mata kepada 11,921.38, Indeks FBM Ace meningkat 13.86 mata kepada 4,918.21 manakala FBM 70 susut 9.28 mata kepada 13,813.93.

Indeks FBM Emas susut 4.52 mata kepada 11,854.06 manakala Indeks FBMT 100 susut 3.31 mata kepada 11,682.39.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 38.43 mata kepada 7,430.97 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 92.69 mata kepada 17,126.61 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.61 mata kepada 170. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan