Pengumuman larangan merokok di kedai kopi, pusat penjaja terbuka malahan gerai tepi jalan telah mengundang reaksi segera pengusaha yang antaranya meminta kerajaan memberi kelonggaran. 
Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Pengumuman larangan merokok di kedai kopi, pusat penjaja terbuka malahan gerai tepi jalan telah mengundang reaksi segera pengusaha yang antaranya meminta kerajaan memberi kelonggaran.

Mereka antaranya memohon supaya zon rokok atau bilik rokok dibenarkan supaya pelanggan boleh merokok di kawasan khusus dalam kedai.

Namun begitu, permohonan itu telah ditolak Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye yang berkata, kementeriannya tidak akan mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Walaupun begitu, perokok boleh merokok di luar pusat penjaja atau kedai kopi,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan tetap menghormati hak asasi perokok kerana mereka boleh merokok di kawasan lapang, tepi jalan atau di rumah.

“Ini ialah hak mereka, tetapi jangan merokok di kawasan larangan,” katanya.

Sebelum ini, Boon Chye telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menguatkuasakan pengharaman merokok di restoran, kedai kopi dan gerai penjaja di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan itu akan dikenakan denda sebanyak RM10,000 manakala restoran yang didapati tidak menguatkuasakan larangan akan dikenakan denda RM2,500.

Ekoran pengumuman pada Khamis itu, pengusaha kedai dan penjaja telah melahirkan kebimbangan bahawa perniagaan mereka akan terjejas.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), T. Muthusamy berkata, sudah menjadi kebiasaan rakyat untuk berborak, meminum teh tarik dan merokok di restoran pada pukul 3 hingga 4 petang.

Muthusamy juga mencadangkan supaya kerajaan memberi masa kepada pengusaha untuk menyediakan zon merokok.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Datuk Ho Su Mong mencadangkan kerajaan mencontohi kerajaan Jepun yang menyediakan pondok merokok untuk kemudahan perokok.

“Memandangkan kita mengamalkan Dasar Pandang Timur, maka kita harus belajar daripada Jepun yang menyediakan pondok-pondok merokok di banyak tempat,” katanya kepada China Press. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan