Datuk Seri Azmin Ali
Datuk Seri Azmin Ali

PORT DICKSON – Hanya masa memisahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jawapan perdana menteri kelapan, kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sudah mencapai kata sepakat untuk melantik Anwar sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad dan perkara itu dicapai sebelum gabungan itu mentadbir Putrajaya.

“Konsensus sudah ada dan Tan Sri Muhyiddin pun mengulangi perkara yang sama sebentar tadi bahawa konsensus PH pada satu tempoh yang sesuai dan Anwar akan ambil kepimpinan negara.

“Cuma masa yang sesuai itu saya kira PH akan bincangkan secara muafakat. Itu memang amalan dalam Majlis Presiden.

“Yang penting konsensus telahpun dimuktamadkan. Cuma tempoh tu saya percaya Majlis Presiden akan bincang,” katanya ketika ditemui media dalam ceramah politik di perkarangan Masjid Bagan Pinang, Port Dickson, malam tadi.

Hadir sama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat kemunculan selepas tiga bulan menyepi.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut berkata tidak timbul persoalan berkenaan menjadikan Anwar sebagai perdana menteri kerana konsensus parti sudah menetapkan perkara itu.

Katanya, hanya tempoh masa yang masih belum diputuskan kerana ia memerlukan perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH.

“Saya tidak tahu bila, cuma fokus kita sekarang hanya nak menang PRK. Sebab itu seluruh kepimpinan PH ada di sini. Kita tak ambil mudah, pada kita nak menang dan kekalkan kerusi ini di tangan PH,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan