Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh.

KAJANG – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mahu hukuman maksimum bagi kes berkaitan dengan dadah  terus digunakan walaupun cadangan hukuman mati akan dihapuskan.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, di bawah Akta Berbahaya terdapat peruntukan bahawa mahkamah boleh menghukum pengedar dadah dengan hukuman penjara seumur hidup dengan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Bagaimanapun, bagi kes-kes dadah tertentu hukuman mati masih lagi sesuai dilaksanakan, katanya pada sidang media di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di negara ini.

Kelmarin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Mohmad berkata, beliau secara peribadi berpendapat hukuman mati lebih sesuai bagi kes-kes berat membabitkan dadah.

“Saya masih berpendapat hukuman mati lebih sesuai.

“Anda perlu tahu pengedar dadah juga membunuh (dengan dadah), secara perlahan-lahan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, jika undang-undang berkenaan diluluskan di Parlimen, polis akan mematuhinya.

Terdahulu, beliau memberitahu, JSJN berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dengan penangkapan 12 daripada anggotanya.

Ia hasil sembilan serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor antara 10 dan 11 Oktober lalu.

Hasil operasi berkenaan polis berjaya menemui dua premis yang dipercayai telah digunakan untuk pemprosesan dadah.

Suspek, berusia 22 hingga 55 tahun, telah ditahan reman.

Dalam operasi berkenaan polis berjaya merampas dadah bernilai meletakkan RM3.27 juta.

Rampasan berkenaan membabitkan dadah seberat 72 kilogram itu yang dipercayai ketamin dan 15,100 pil ekstasi. – MalaysiaGazette