PORT DICKSON – Pas menyifatkan Institut Darul Ehsan (IDE) dan Invoke sebagai ‘adik-beradik’ yang suka mengeluarkan kajian yang tidak relevan dan syok sendiri.

Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kajian soal selidik persepsi pengundi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson yang menyatakan 74 peratus pengundi akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim esok tidak meyakinkan.

“Kita kenal siapa IDE ini serta orang atau individu di sebalik badan itu, kami amat arif mengenainya.

“Apa yang dia buat (soal selidik) itu satu isu yang boleh dipersoalkan.. lebih-lebih lagi IDE menyatakan Saiful Bukhari Azlan (calon bebas) menerima kosong sokongan pengundi.

“Ada tak atau pernah tak mana-mana calon dapat kosong undi,” katanya dalam sidang media Pas di Teluk Kemang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil kajian yang meramalkan Pas hanya mndapat 11 peratus undi di belakang Pakatan Harapan.

Tambah beliau, pendirian IDE lebih kurang sama seperti kajian Invoke semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Ini (IDE) lebih kurang seperti invoke dulu, dia kata Pas dalam PRU14 lalu kosong kerusi Parlimen

“Akhirnya Pas mendapat 18 parlimen 90 kerusi DUN. Invoke itu adik-beradik IDE sekarang yang tampil dengan kajian memihak kepada Anwar.

“Ia tidak menggambarkan kajian yang meyakinkan,” tegasnya lagi.

Takiyuddin turut mempersoalkan tahap keyakinan Anwar yang berkempen bermati-matian pada minit terakhir hari ini seolah-olah beliau sendiri tidak yakin dengan kemampuannya.

“Kalau kajian IDE itu benar, kenapa pada minit terakhir, Anwar masih berkempen bermati-matian berjumpa pengundi, tidak yakin menang ke apa.

“Sebab saya lalu tadi nampak dia komited berkempen jumpa pengundi dan pesara tentera.

“Kamu bukan orang asing, calon popular PM, budak-budak kenal orang muda pun yakin nak undi kamu, kenapa berkempen minit terakhir..saya tak pernah lihat Stevie Chan berkempen bermati-matian macam ini,” katanya.- MalaysiaGazette