Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan isu semasa di Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 SEPTEMBER 2018.
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari menolak permohonan difailkan pengendali laman Facebook Mohsin Abdul Latif untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam keputusannya berkata pemohon selaku pengadu dalam kes ini tidak mempunyai locus standi untuk menfailkan permohonan berkenaan.

“Berbalik pada isu locus standi, pemohon adalah pengadu dalam kes ini dan bukannya tertuduh. Untuk kes jenayah mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan hanya Peguam Negara yang mempunyai kuasa untuk sama ada tuduh, atau tidak tuduh, tarik balik. Kuasa itu hanya boleh dibuat oleh Peguam Negara dan bukannya mahkamah.

“Orang lain tidak boleh bercakap, Peguam Negara yang ada kuasa. Suka atau tidak suka kena ikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan ini,” katanya.

Beliau berkata bagi kes jenayah, sekiranya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh menfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan.

Selain itu beliau berkata menerusi Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah jelas menunjukkan bahawa mahkamah tidak boleh ubah atau semak permohonan tersebut.

“Saya menerima hujahan bantahan awal yang dikemukakan pihak responden, apa yang dihujahkan memang tepat dari segi undang-undang .Mahkamah tidak boleh bertindak sesuka hati, mahkamah kena patuhi undang-undang,”

“Setelah mengkaji keseluruhan keterangan dan undang-undang di bawah Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah memang pemohon tidak ada locus standi dan permohonan pemohon ditolak,” katanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhujah pemohon tidak mempunyai locus standi bagi menfailkan permohonan tersebut.

Sementara itu peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim pula berhujah Seskyen 278 Kanun Prosedur Jenayah jelas menyatakan mahkamah itu tiada kuasa untuk menyemak dan mahkamah tinggi hanya boleh menyemak keputusan yang dibuat oleh mahkamah rendah.

Di luar mahkamah, peguam Gunamalar Joorindajn yang mewakili pengadu memberitahu pemberita beliau menghormati keputusan yang dibuat mahkamah dan akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Pada pertengahan September lepas, Mohsin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapat perintah bahawa keputusan berkenaan perlu dikaji semula dan diketepikan atau diubah dan digantikan dengan perintah Lim dan Phang dilepaskan tanpa dibebaskan.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam permohonan itu, Mohsin menamakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM sebagai responden pertama, Lim sebagai responden kedua dan Phang responden ketiga.

Pada 3 Sept lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Lim yang kini Menteri Kewangan dan Phang daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran berikutan permohonan peguam Ramkarpal dan peguam Datuk V. Sithambaram serta peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

— BERNAMA