Nga Kor Ming
IPOH – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengesahkan beliau merupakan antara 24 calon yang bertanding dalam pemilihan konvensyen DAP negeri yang bakal diadakan di Hotel Taiping Perdana, pada Ahad ini.

Nga yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata Timbalan Pengerusi negeri yang juga Anggota Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, Naib Pengerusi negeri A. Sivanesan dan Setiausaha negeri, Wong Kah Woh akan turut bertanding dalam pasukannya.

Beliau berkata, turut serta dalam pasukan itu adalah barisan anggota Exco Kerajaan Negeri, Prof Dr Abdul Aziz Bari, Yong Choo Kiong dan Wong May Ing serta Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Selain itu, di bawah pasukannya, turut bertanding adalah ADUN Keranji Chong Zhemin, ADUN Malim Nawar Leong Cheok Keng, ADUN Pokok Assam Leow Thye Yih, ADUN Jalong Loh Sze Yee, ADUN Bercham Ong Boon Piow, ADUN Buntong A. Sivasubramaniam dan Ahli Parlimen Taiping Teh Kok Lim.

Pada 29 Sept lepas, satu lagi pasukan yang diketuai Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran dan Penolong Setiausaha Penganjur DAP, Thomas Su Keong Siong telah mencalonkan Choo Ooi Beng dari cawangan Kuala Kangsar, Loh Eng Soon (Kampung Acheh Baru), Ling Lok Hock (Kampung Cina), Pooi Yong Hwa (Teluk Intan), Ng Lai Hoong (Pasir Pinji), Cheong Chee King (Taman Canning), Tho Siew Foong (Aulong), N Muniandy (Ipoh Barat) dan Beh Boon Chong (Pantai Remis).

Kula Segaran berkata, beliau dan Thomas Su tidak akan bertanding pada konvensyen kali ini untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas baharu mereka sebagai Menteri Sumber Manusia dan Anggota Parlimen Kampar serta tugas parti di peringkat kebangsaan.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan