PORT DICKSON – Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya masih menaruh harapan bahawa peratusan keluar mengundi esok dijangka pada paras 70 peratus.

Biarpun ramalan kaji cuaca menjangkahujan lebat di sebelah petang, namun SPR optimis pengundi akan tetap keluar mengundi.

“Kita jangka 70 peratus keluar mengundi, cuma kita seru sebab tengok keadaan hujan, dan kita harap keluar lebih ramai waktu pagi berbanding waktu petang.

“Kita jangkakan petang hujan dan kita bimbang orang tidak akan keluar mengundi. Jadi pengundi disaran keluar awal dan buat semakan,” katanya dalam sidang media Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Beliau sebelum ini meninjau persiapan SPR dalam memastikan proses pengundian berjalan lancar esok.

Malah beliau turut menyaksikan semakan terakhir bagi SPR bagi peti undi, dakwat kekal.

MGF12102018_SEMAKAN PETI UNDI SPR_14

Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, seramai 1,403 petugas akan dikerah bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar esok.

Sebanyak 32 pusat pengundi dibuka merangkumi 154 saluran dibuka untuk tujuan pengundian sebelum ditutup jam 5 petang.

Pengundian awal bakal menyaksikan sejumlah 68,317 pengundi di sekitar Port Dickson akan mengundi.

Dalam pada itu, Othman mengingatkan semua pihak yang bertanding agar menamatkan kempen mereka sebelum 12 tengah malam ini.

Malah SPR akan turut memantau perkembangan media sosial agar tiada proses merayu undi berlaku sepanjang proses pengundian.

“SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada hari mengundi semua bentuk atau aktiviti merayu undi adalah dilarang.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya lagi.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai lima kerusi Dewan Undang Negeri iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) dan Sri Tanjung (PKR).

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan